Bisnes & Ekonomi 06 Jan, 2025

Perbanyak kelapa! Sambutan CNY, puasa dan raya dah hampir! Kini ada pula gelombang bawang! - Mat Sabu

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 dan Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022. E-mel: [email protected]

Share this

MOHAMAD Sabu (kanan) menikmati buah mesta bersama-sama Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani ketika lawatan kerja ke Duriotourism MARDI, Kuala Kangsar pada 28 Disember 2024 lalu. - Kredit foto: MARDI 


MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berharap para penanam kelapa dapat meningkatkan hasil pengeluarannya menjelang ketibaan Tahun Baharu Cina (CNY), puasa Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang berturut-turut mulai hujung Januari hingga April 2025 ini.

Katanya, negara sekarang menghadapi masalah menampung kegunaan dalaman sehingga mencetuskan kenaikan harga produk kelapa seperti santan yang amat diperlukan di pasaran sehingga kerajaan terpaksa membawa masuk kelapa dari Indonesia.

“Kementerian berharap para penanam kelapa berusaha supaya hasilnya lebih tinggi bagi memenuhi permintaan pengguna.

“Kami memang berunding dengan FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) untuk membawa masuk kelapa Indonesia tetapi negara pengeksport itu pun menghadapi masalah kegunaan tempatan mereka,” katanya ketika ditemui di Duriotourism Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini.


KELAPA sentiasa mendapat permintaan tinggi orang ramai terutama musim perayaan. - Kredit foto: MARDI


Dalam jangka panjang kementerian juga katanya, cuba menggalakkan kemunculan usahawan dan pelabur baharu dalam perladangan kelapa tempatan yang memang menguntungkan walaupun tahap kesanggupan mereka didapati masih rendah sekarang.

“Banyak usahawan baharu menyedari penanamannya menguntungkan namun keinginan untuk mereka melabur dalam pertanian tempatan masih rendah.

“Pertanian perlu diterokai supaya import makanan yang begitu tinggi dapat dikurangkan apabila kita boleh tanam di tempat sendiri,” katanya lagi.


MOHAMAD Sabu cuba mengait buah mesta dengan galah sambil diperhatikan Mohamad Zabawi Abdul Ghani (dua dari kiri) di ladang MARDI Kuala Kangsr. - Kredit foto: MARDI


Ruang-ruang dalam industri pertanian lain juga perlu diperhebat, kata Mohamad, malah sebagai contoh pada 2024, Malaysia berjaya mengeksport sehingga 1,700 kontena nanas yang mendadak naik berbanding hanya 800 kontena pada 2023.

“Sambutan hebat rakyat dalam penanaman nanas meyakinkan kementerian untuk mencapai 4,000 kontena buah itu bagi memenuhi permintaan luar negara pada 2025,” katanya.

Mohamad juga mendapati kempen penanaman bawang kini sudah menjadi ‘gelombang’ dengan sokongan media massa.

“Terima kasih MARDI kerana perkenal benih bawang. Di Perak, kempen tanam bawang ini mendapat sambutan dan kita akan pergiatnya secara komersial pada 2026,” katanya. - KitaReporters


 

KEMPEN oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan kini mencetuskan 'Gelombang Bawang' dalam kalangan umum. - Kredit foto: MARDI


  

PENINGKATAN penanaman bawang tempatan mampu mengurangkan pergantungan Malaysia kepada import bawang. - Kredit foto: MARDI

15
15
0
9
0
You will be interested