Bisnes & Ekonomi 25 Mar, 2025

Beraya cara Madani! Sambutan Aidilfitri berteraskan nilai! Sederhana, bersama, syukur, berhemah!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:anakperlis65@gmail.com

Share this

Sesi bual bicara di Perpustakaan Perkhidmatan Kewangan (FSL), anjuran bersama AKPK. 


Setiap kali musim perayaan tiba, suasana menjadi meriah dengan kegembiraan dan keceriaan setelah sebulan umat Islam berpuasa namun di sebalik kemeriahan ini isu perbelanjaan berlebihan sering menjadi kebimbangan dengan ramai yang terjerat dalam hutang akibat ingin meraikan perayaan secara mewah.

Konsep Sambutan Berteraskan Nilai atau Value-Based Celebration boleh dijadikan panduan bagi memastikan perayaan disambut secara bermakna tanpa menjejaskan kewangan.

Konsep ini menekankan kepentingan kesederhanaan, kebersamaan, kesyukuran dan tanggungjawab kewangan dalam perbelanjaan perayaan selaras dengan pendekatan Malaysia Madani yang menitikberatkan kesejahteraan rakyat dan pengurusan kewangan yang mampan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu kenyataan turut menekankan kepentingan mengamalkan gaya hidup sederhana semasa perayaan dan mengelakkan pemborosan yang boleh menjejaskan kesejahteraan keluarga dalam jangka panjang. 

Beliau menegaskan bahawa budaya wasatiyyah (kesederhanaan) perlu diterapkan dalam setiap aspek kehidupan termasuk dalam menyambut Aidilfitri.

Menurut Perdana Menteri, Aidilfitri seharusnya menjadi masa untuk kita menghargai nilai kekeluargaan dan persaudaraan bukan sekadar berlumba-lumba untuk mempamerkan kemewahan.


Mohd Irman Mohd Din (kiri) bersama Mohd Khairil Ashraf (kanan) ketika sesi yang berlangsung di FSL.


Menurut statistik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), hutang isi rumah di Malaysia terus meningkat dengan lonjakan ketara sekitar musim perayaan.

Ramai yang terdorong untuk berbelanja melebihi kemampuan demi mengekalkan imej atau memenuhi tekanan sosial.

Hakikatnya, perayaan bukan tentang kemewahan tetapi menghargai nikmat, mempererat silaturahim dan berkongsi kegembiraan.

Pegawai Kanan Jabatan Pendidikan Isi Rumah AKPK, Mohd Khairil Ashraf, dalam sesi bual bicara "Raya Datang Lagi, Duit oh Duit...Mana nak cari" di Perpustakaan Perkhidmatan Kewangan (Financial Services Library atau FSL) baru-baru ini turut menekankan bahawa perbelanjaan harus sejajar dengan matlamat kewangan jangka panjang dan keperluan sebenar, bukannya sekadar kehendak.

Bagi memastikan Aidilfitri disambut dengan penuh kesyukuran dan kebijaksanaan dalam berbelanja, masyarakat disarankan agar menyediakan bajet perayaan yang realistik, merancang pembelian secara berperingkat dan mengelakkan pembelian impulsif.

Dalam usaha mengawal perbelanjaan, Perdana Menteri juga menggalakkan penggunaan kaedah tradisional seperti sistem sampul tunai bagi mengelakkan perbelanjaan berlebihan.

Selain itu, pemakaian pakaian lama yang masih elok serta mengitar semula perhiasan rumah adalah amalan yang patut diterapkan sebagai sebahagian daripada gaya hidup yang lebih lestari dan bijak berbelanja.


Sesi program bual bicara bertajuk Raya Datang Lagi, Duit oh Duit...Mana nak cari di FSL.

Perayaan yang bermakna tidak diukur melalui banyaknya hidangan atau kemewahan, tetapi kasih sayang, empati dan kegembiraan yang dikongsi bersama.

Konsep Sambutan Berteraskan Nilai menggalakkan kita meraikan Aidilfitri dengan penuh kesyukuran dan tanggungjawab kewangan.

Menurut Timbalan Pengarah FSL, Mohd Irman Mohd Din pula, literasi kewangan amat penting dalam memastikan kesejahteraan masyarakat.

FSL berperanan sebagai Pusat Kecemerlangan Literasi Kewangan dengan mendidik masyarakat melalui penyediaan sumber pendidikan kewangan yang mudah diakses.

Selain itu, pusat ini turut memperkasakan individu dengan melengkapkan mereka dengan kemahiran pengurusan kewangan serta menggalakkan keterangkuman kewangan, terutama bagi golongan rentan dan terpinggir.


Timbalan Pengarah FSL, Mohd Irman Mohd Din (dua dari kanan) bersama pegawai AKPK dan peserta yang hadir bergambar kenangan.


Katanya, FSL berkomitmen dalam memastikan kestabilan dan keterangkuman kewangan negara dapat dicapai, sekaligus menyumbang kepada kesejahteraan komuniti secara keseluruhan.

Oleh itu, masyarakat digalakkan untuk menyambut Aidilfitri dengan lebih bijak, mengelakkan hutang dan meraikan kebahagiaan bersama keluarga. Ini seiring dengan aspirasi Malaysia Madani yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan pengurusan kewangan yang berhemah. - KitaReporters

10
16
0
9
0
You will be interested