Bisnes & Ekonomi 02 Oct, 2023

PM arah pemerkasaan edaran beras tempatan melalui FAMA! Harga beras import diserap kerajaan! - Menteri

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Kenyataan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam akaun Facebooknya pada 2 Oktober 2023


Saya telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu di pejabat saya (pada 2 Oktober 2023) bagi berbincang dan mendapatkan penyelesaian berhubung situasi beras negara.
Kerajaan Perpaduan prihatin akan isu semasa khususnya apabila rakyat ingin mendapatkan jaminan bekalan beras putih tempatan (BPT) dan harga beras putih import (BPI).
Kendatipun, saya amat peka dan mendengar segala keluh kesah yang dibangkitkan oleh rakyat ekoran kenaikan harga BPI di pasaran ekoran kenaikan harga beras global.
Fenomena kenaikan harga beras ini bukan hanya berlaku di Malaysia, malah turut melibatkan negara serantau susulan tindakan 19 buah negara yang telah mengehadkan eksport beras untuk memberi keutamaan kepada rakyat sendiri.
Saya beri jaminan Kerajaan tidak berpeluk tubuh, sebaliknya akan bergerak dengan segenap akal, bertiwikrama untuk meringankan beban rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga beras global ini.
Ini termasuklah menerusi beberapa langkah intervensi yang diumumkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan hari ini (2 Oktober 2023) bagi meredakan kebimbangan rakyat berhubung kenaikan harga BPI dan peningkatan permintaan terhadap BPT di pasaran.
Diharap langkah ini akan dapat membantu meringankan beban yang dihadapi. Insya-Allah.


Sementara itu, Mohamad telah mengeluarkan satu kenyataan media selepas pertemuan dengan Anwar itu, yang menyebut:

"Pada hari ini (2 Oktober 2023), seusai pertemuan saya bersama Perdana Menteri pada pagi ini, Perdana Menteri telah bersetuju untuk melaksanakan 4 langkah intervensi drastik seperti berikut:

1) Pemerkasaan edaran BPT melalui FAMA akan diperluas dengan meningkatkan pengedaran di kawasan pinggir bandar dan luar bandar;
2) Dalam konteks Sabah dan Sarawak, Kerajaan memutuskan agar harga BPI diserap oleh Kerajaan mulai 5 Oktober 2023 bagi membolehkan BPI diperolehi dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10kg. Ini memandangkan pengeluaran BPT di Sabah dan Sarawak adalah terhad;
3) Terma kontrak perolehan pembekalan beras di bawah agensi Kerajaan sebelum ini termaktub menggunakan BPT. Sehubungan itu, Kerajaan memutuskan supaya perolehan baharu beras di bawah kontrak Kerajaan menggunakan BPI. Semua pembekal akan menggunakan BPI dengan mendapatkan bekalan pada harga borong RM3,200 (harga pintu gudang) dalam kampit 50kg tertakluk kepada syarat dan peraturan yang telah ditetapkan. Ini bagi memberi keutamaan pembekalan BPT kepada rakyat;
4) Melancarkan Task Force Khas Bersepadu Penguatkuasaan Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang melibatkan Kawal Selia Padi dan Beras (KPB), Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS). OP BPT ini akan memberi fokus kepada pemeriksaan dan penguatkuasaan pada kesemua peringkat rantaian pembekalan BPT.

17
9
0
12
0
You will be interested