Kejayaan dan kemajuan ekonomi Johor tidak wajar dicemburui atau dilihat sebagai satu persaingan tetapi perlu dilihat sebagai satu pengukuhan kepada ekonomi nasional secara keseluruhan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Johor, sebagai negeri yang gagah ekonominya, malah kini telah pun mengatasi beberapa negeri termasuk Pulau Pinang dan Selangor.
"Sewajarnya kita meraikan suntikan kemajuan seperti ini. Lantas, saya tidak pernah sama sekali melihat kemajuan Johor sebagai suatu persaingan.
"Sebaliknya, ia menjadi antara faktor pengukuh kekuatan semangat nasional kerana ia juga sebuah negeri yang cantik, penting dan strategik kepada Malaysia," ujarnya.
Anwar berkata demikian pada Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (GJBEDTP) yang dirasmikan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim pada 11 Disember 2025.
GJBEDTP dibina sebagai kesinambungan kepada jajaran landasan berkembar elektrik sedia ada di Malaysia.
Jajaran sepanjang 195 kilometer ini akan melengkapkan jaringan landasan berkembar elektrik dari utara (Perlis) ke selatan Semenanjung Malaysia (Johor Bahru) bagi memenuhi keperluan pembangunan infrastruktur sektor pengangkutan kereta api.
SIPP Rail Sdn Bhd dan YTL Construction Sdn Bhd merupakan kontraktor utama GJBEDTP.

Kata Perdana Menteri, projek raksasa ini merupakan detik dan mercu penting dalam lembaran sejarah pembangunan pengangkutan negara yang ternyata strategik, dan menjadi pelengkap kepada rangkaian rel elektrik dari Padang Besar ke Johor Bahru.
"Justeru, setinggi tahniah dan penghargaan atas pencapaian dan kejayaan besar hasil komitmen dan kepakaran kerjasama SIPP-YTL dalam menjelmakan infrastruktur bertaraf dunia tersebut.
"Penyempurnaan projek ini tepat pada masanya oleh SIPP–YTL mengesahkan bahawa kontraktor tempatan mempunyai keupayaan dan kepakaran untuk membangunkan infrastruktur bertaraf global demi kemajuan negara," jelas beliau.
Anwar menambah, dengan wujudnya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai katalis pertumbuhan mampan, projek rel ini telah menyelesaikan satu babak penting dalam usaha memperkukuh jaringan pengangkutan yang amat diperlukan oleh rakyat terbanyak, dari pelabuhan, rangkaian lebuh raya, hingga ke lapangan terbang.
"Walhasil, pembangunan jajaran 11 stesen baharu di kota-kota kecil sepanjang laluan ini membuka ruang dan peluang kepada terlahirnya pusat-pusat kegiatan ekonomi baharu yang pastinya membawa limpahan manfaat kepada rakyat di kawasan-kawasan sekitar.
"Apa yang kita saksikan hari ini ternyata menjadi bukti semangat ‘participatory democracy’ yang ingin kita hidup dan semarakkan, iaitu dengan mendengar, mengambil kira serta menghormati pandangan negeri dalam proses pembangunan nasional.
"Dengan pengoperasian landasan ini, kita telah mempercepat perjalanan selain lonjakan masa depan Johor dan Malaysia seluruhnya," tegas Perdana Menteri. - KitaReporters/Kenyataan Media
