Fokus utama bukan sekadar untuk patuh kepada piawaian, tetapi melangkaui standard -- mencipta nilai melalui ketelusan data, inovasi teknologi dan memperkukuh setiap segmen rantaian bekalan global.
Pengarah Standard dan Impak RSPO, Yen Hun Sung menegaskan bahawa industri sawit mesti bergerak daripada tindak balas kepada tindakan proaktif selaras dengan perkembangan digital dan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai pemangkin utama."Kami telah melihat pasaran berubah dan impak kami juga perlu berubah," katanya ketika ditemui KitaReporters sempena Persidangan Meja Bulat (RT) 2025 di Kuala Lumpur pada Isnin, 3 November 2025.
Di sebalik perkembangan pesat teknologi, cabaran terbesar dalam industri perladangan kelapa sawit adalah memastikan ketepatan data.
Selama ini, data sering terperangkap dalam laporan statik, namun kini RSPO bergerak ke hadapan dengan pendigitalan secara besar-besaran.Hun Sung menjelaskan bahawa AI tidak akan menggantikan amalan perladangan, sebaliknya teknologi itu bakal memudahkan urusan sektor tersebut.“AI bagi kami adalah alat. Ia bukan pengganti untuk amalan anda. Ia alat untuk membantu anda mungkin sampai ke sana (misi dan visi) dengan lebih cepat, sampai ke sana dengan lebih bijak dan sampai ke sana dengan penggunaan data sepenuhnya,” katanya.Justeru bagi memacu impian tersebut platform digital, PRISMA akan berfungsi sebagai pusat data kritikal, membolehkan pengesanan corak pengeluaran dan masalah di lapangan secara masa sebenar.
PRISMA ialah sistem data bagi Palm Resource Information and Sustainability Management (Pengurusan Sumber Maklumat dan Kelestarian Sawit).
Menerusi data yang didigitalkan, RSPO dapat membezakan sama ada masalah yang timbul -- seperti penurunan hasil (yields) di ladang -- adalah isu terpencil atau bersifat sistemik yang memerlukan intervensi dasar yang lebih luas.
"Jika ia isu sistemik, ia memerlukan penyelesaian yang berbeza. Kemudian kita perlu bekerjasama bukan sahaja dengan satu syarikat, tetapi seperti banyak syarikat. Kadang-kadang kita perlu bekerjasama dengan kerajaan,” ujar Hun Sung yang menekankan kepentingan kerjasama di luar sektor korporat.
RSPO turut berdepan dengan kritikan lama bahawa amalan kelestarian akan merencatkan produktiviti dan hasil, namun Hun Sung menyangkal tanggapan tersebut dengan data yang konkrit.
"Hasil RSPO secara umum di seluruh dunia adalah kira-kira 1.2 hingga 1.3 tan metrik minyak sawit mentah sehektar tanah lebih tinggi daripada purata global," tegasnya.
Perbezaan signifikan berkenaan membuktikan bahawa pematuhan standard RSPO yang menekankan Amalan Pertanian yang Baik (Good Agricultural Practices atau GAP) sebenarnya meningkatkan kecekapan pengeluaran.
Justeru hala tuju 20 tahun akan datang adalah untuk memastikan lebih ramai penanam, terutama pekebun kecil menyedari manfaat kewangan yang ketara daripada pensijilan lestari.
Jadi bagi memastikan perancangan tersebut berada di landasan tepat, cabaran geopolitik menuntut RSPO mengukuhkan hubungan sedia ada dengan kerajaan menerusi dasar-dasar domestik dan antarabangsa yang memberi kesan langsung kepada kelestarian.
RSPO yang bersifat badan bukan berasaskan keuntungan berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan dasar mereka sejajar dengan matlamat kelestarian global.
“Kami berharap dapat menjadi pentas untuk ruang perbincangan dan bekerjasama dengan kerajaan bagi mempromosikan kelestarian, tetapi bukan dengan mengorbankan industri,” ujar Hun Sung.
Perkara itu penting dalam konteks cabaran antarabangsa, seperti Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
RSPO sentiasa terbuka untuk berbincang dengan pasaran pembeli utama bagi mengelakkan dasar mereka membawa akibat yang tidak disengajakan kepada pengeluar.
Terdapat juga usaha berterusan untuk membantu negara-negara membangun seperti Thailand dan Papua New Guinea (PNG) agar mereka dapat menyelaraskan standard kebangsaan mereka dengan standard RSPO, menjamin kelestarian yang seragam di seluruh rantaian bekalan.

Komitmen RSPO untuk tempoh 20 tahun akan datang turut tertumpu pada pembangunan manusia, terutama generasi muda (Gen Alpha) yang merupakan peneraju masa depan.
Hun Sung memaklumkan bahawa RSPO giat menyediakan platform untuk suara belia kerana mereka membawa perspektif digital dan jangkaan yang berbeza terhadap tanggungjawab korporat.“Kelestarian adalah laluan ke masa depan yang lebih baik untuk mereka,” jelas beliau sambil menegaskan bahawa program RSPO bertujuan membina kesedaran dan melengkapkan mereka dengan fakta.
Malah melalui kempen belia dan kerjasama dengan universiti, RSPO berusaha memastikan bahawa agenda kelestarian tidak dilihat sebagai persaingan atau penghalang, tetapi sebagai satu nilai yang membawa manfaat kolektif.
RSPO percaya bahawa dengan menyediakan maklumat yang tepat dan peluang untuk berinovasi, generasi seterusnya akan dapat memastikan minyak sawit terus menjadi komoditi yang penting serta dihasilkan secara lestari.
Secara kolektif, hala tuju RSPO adalah untuk memperkukuh perkongsian global dalam industri minyak sawat—antara penanam, kerajaan dan pasaran -- berdasarkan kepercayaan, ketelusan data serta tujuan bersama untuk mencapai kelestarian dalam segala aspek.

Dalam pada itu, RSPO, Asia School of Business (ASB) melalui Center for Sustainable Small-Owners (CSS) dan National Association of Smallholders (Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil atau NASH) pada Selasa, 4 November 2025 menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh daya saing pekebun kecil sawit di Malaysia melalui latihan, kesediaan digital dan pembiayaan lestari.Kolaborasi strategik itu bertujuan membantu pekebun kecil menghadapi cabaran produktiviti dan piawaian kelestarian global, khususnya dalam konteks Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang semakin menuntut ketelusan rantaian bekalan.Malaysia kini berada di persimpangan penting apabila lebih separuh daripada ladang sawit milik pekebun kecil berusia lebih 25 tahun, manakala populasi penanam semakin menua dengan memberi tekanan terhadap hasil dan pendapatan.Presiden NASH, Adzmi Hassan berkata, kerjasama tersebut menandakan kembalinya semangat pemberdayaan yang menjadi asas pembangunan luar bandar Malaysia.“Kerjasama ini bukan tentang menggantikan satu piawaian dengan yang lain, tetapi melengkapkan pekebun kecil supaya apabila mereka bersedia untuk RSPO, mereka juga secara semula jadi bersedia untuk Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO),” katanya.
Tambahnya, MoU berkenaan membuktikan bahawa pekebun kecil bukan masalah dalam rantaian nilai sawit, sebaliknya adalah penyelesaian utama bagi masa depan mampan industri itu.
“Dengan menyelaraskan piawaian nasional dan antarabangsa, kita menjadikan pematuhan sebagai peluang, mengembalikan maruah kepada pekebun kecil dan menjamin masa depan lestari Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Unit Pekebun Kecil RSPO, Guntur Cahyo Prabowo berkata, kerjasama seperti ini menunjukkan bagaimana Malaysia menterjemahkan dasar inklusif kepada pelaksanaan di lapangan yang memberi manfaat terus kepada pekebun kecil.
“Kelestarian tidak seharusnya menjadi halangan. Melalui perkongsian seperti ini, Malaysia membuktikan bahawa inovasi dan keterangkuman boleh bergerak seiring,” katanya.
Beliau turut memuji pendekatan kerajaan yang meletakkan pekebun kecil di teras dasar kelestarian, satu langkah yang katanya sedang diperhatikan oleh banyak negara jiran dan boleh dijadikan contoh di peringkat serantau.
Dekan Fakulti CSS ASB, Dr. Asad Ata pula berkata, kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen ASB untuk menterjemahkan penyelidikan kepada impak sebenar di lapangan.“Ini ialah penyelidikan yang diterjemahkan kepada tindakan. Dengan menyelaras data, latihan dan sistem insentif, kita membantu pekebun kecil menjadikan pensijilan sebagai jalan ke arah ketahanan dan pertumbuhan,” katanya.
Kerjasama selama tiga tahun itu akan dilaksanakan secara berfasa merangkumi latihan amalan pertanian baik, pengurusan rekod dan pembangunan kepimpinan, selain memperkukuh pengumpulan data untuk ketelusan rantaian bekalan serta memperkenal insentif berasaskan kelestarian agar pengeluaran bertanggungjawab menjadi lebih menguntungkan dan mampan.
Aktiviti awal melibatkan sesi libat urus bersama pihak berkuasa tempatan dan pemimpin komuniti sedang dirancang bagi memastikan pelaksanaan menyeluruh di peringkat akar umbi. - KitaReporters