Bisnes & Ekonomi 04 Oct, 2022

Hobi cari barangan vintaj, jarang ditemu! Grateful Campbell Fest! Mungkin boleh dapat harga jackpot!

Share this


ORANG kata 'untung sabut timbul, untung batu tenggelam'. Macam itu jugalah adat membeli-belah, sama ada perlu keluar duit yang banyak untuk berbelanja atau ada masanya dapat rezeki sesuatu barangan pada harga yang amat murah serta berbaloi nilai estetikanya.

Ikut nasib masing-masinglah tapi apa yang penting bak kata orang muda zaman sekarang, kenalah rajin 'menyelam'

Lubuk 'menyelam' itu pula antaranya ada di Grateful Campbell Fest yang teah diadakan selama tiga hari di pusat beli-belah Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur, baru-baru ini.



Pengumpul dan penjual kasut vintaj jenama Adidas, Ide Adol yang berniaga di situ berkata, acara yang disertai hampir 80 peniaga atau vendor itu menjadi medan para peminat termasuk mencari pelbagai kategori barangan lama yang kini dikatakan semakin pupus dan sukar pula diperolehi.
"Ikut nasiblah. Saya pernah jual kasut vintaj Adidas semurah RM150 sepasang dan pada masa sama saya juga pernah menjual kasut vintaj lain sehingga RM4,500 sepasang. Semua itu bergantung pada kondisi, kualiti dan umur kasut itu. Tengoklah macam mana," katanya semasa ditemui di acara tersebut.

IDE Adol di samping puluhan kasut vintaj Adidas yang dijualnya pada acara itu.


Ide Adol atau nama sebenarnya Dulkifli Djuaeri, 41, yang telah mengumpul dan menjual kasut serta pakaian vintaj jenama Adidas sejak 11 tahun lepas bercerita, pada mulanya ia setakat hobi semata-mata, tetapi kini telah menjadi suatu perniagaan yang dekat di hatinya.

Dengan koleksi lebih 250 pasang kasut vintaj Adidas yang dimilikinya, beliau juga sentiasa berusaha mencari koleksi barangan tersebut di pelbagai medium termasuk dari luar negara bagi memenuhi permintaan para peminat tempatan.
"70 peratus koleksi saya dulu saya beli di sini terutama melalui jualan secara dalam talian. Saya juga pernah pergi sampai ke Thailand 'menyelam' selain mendapatkan bantuan seorang kawan di Belgium yang membekalkan pelbagai kasut vintaj Adidas. 

"Saya yakin jenama ini ada ramai peminat dan ia relevan pada sepanjang zaman," ujarnya.




Bukan setakat kasut, pakaian, barangan mainan, kaset, piring hitam, cakera padat dan aksesori, Grateful Campbell Fest juga mencuri tumpuan para peminat serta penjual buku serta majalah vintaj yang teruja pada acara yang julung-julung kalinya diadakan di pusat beli-belah paling lama bertahan di ibu negara itu.

Amir Hamzah Abdul Shukor yang berusia awal 50-an antara penjual buku dan majalah vintaj yang sanggup datang dari Kota Bharu, Kelantan bagi memeriahkan lagi acara di Kompleks Campbell itu yang telah beroperasi sejak awal tahun 1970-an demi memenuhi permintaan peminat tegar buku dan majalah vintaj tempatan.
"Orang kata buku sudah mula 'mati' disebabkan teknologi dan zaman yang berubah. Tapi hakikatnya membaca buku 'hard copy' dan yang 'soft copy' rasa penghayatannya tidak sama. Malah, buku berkonsepkan sejarah, nostalgia atau autobiografi masih ada ramai peminat.
"Begitu juga novel-novel cinta masih ada ramai pembaca, apa yang penting kalau ada kualiti ia akan bertahan lama dan akan terus dibaca. 

"Ada juga orang kata buku atau majalah vintaj mahal, tapi banyak juga yang dijual murah apabila pemiliknya sudah tidak mahu menyimpannya lagi. Daripada dibuang atau dibakar lebih baik dijual walaupun dengan harga murah," ujarnya.


SANGGUP datang dari Kota Bharu, Kelantan, Amir Hamzah Abdul Shukor antara peniaga dan pengumpul tegar buku-buku serta majalah-majalah vintaj.


Beliau yang sudah empat tahun menjual buku secara sepenuh masa dan mempunyai kedai buku sendiri bernama Kopi Book di Kota  Bharu kesal apabila banyak buku atau majalah vintaj tempatan sama ada berunsur sejarah atau hiburan tidak dihargai dan dibuang begitu sahaja
Ini kerana jelasnya, bahan-bahan sebegitu amat bernilai sebagai rujukan buat generasi pada masa depan dan ia juga sepatutnya menjadi khazanah berharga buat negara.
"Banyak buku, makalah, manuskrip dan majalah kita dikutip oleh orang dari luar dan mereka letak dalam perpustakaan sebagai khazanah rujukan. Apabila ia diperlukan semula, banyak yang telah tiada dan kita pula yang terpaksa meminjam daripada mereka. 

"Saya ambil peluang itu dengan mencari, membeli dan mengutip buku-buku dan majalah-majalah lama kerana ia amat bernilai bagi mereka yang tahu menghargainya" jelasnya.


AMIR Khattab (kanan) di depan kedainya di Kompleks Campbell bersama selebriti tempatan, Joey yang hadir memberi sokongan.


Sementara itu, bagi salah seorang penganjur Grateful Campbell Fest, Amir Khattab, 52, pula berkata, acara seumpama itu diharap bukan sahaja membuka ruang perniagaan dan memenuhi hobi para peminat barangan vintaj, malah ia juga mampu menarik lebih ramai pengunjung ke pusat beli-belah tertua di ibu kota itu.
"Selepas ini kami akan teruskan lagi acara sebegini dengan tema-tema yang lain pula. Misalnya, khusus untuk fesyen golongan wanita dalam kategori 'pop culture'. 

"Kami sasaran 80 vendor yang selama ini cukup popular menjual pelbagai barangan mereka dalam Instagram untuk sertai acara yang akan datang. Kami sasarkan 5,000 orang pengunjung akan datang untuk acara seterusnya selepas kejayaan pada kali ini.

"Keutamaan acara ini asalnya adalah untuk para pekedai di Kompleks Campbell ini. Mereka pula beri kerjasama dengan menaja pelbagai hadiah cabutan bertuah untuk para pengunjung. 

"Contohnya, kedai Zolo Collection di Campbell ini sahaja menaja 10 barangan seperti tali pinggang kulit. Keseluruhan hadiah cabutan bertuah acara kali ini bernilai lebih RM4000," ujarnya. - KitaReporters



19
14
0
9
0
You will be interested