Bisnes & Ekonomi 13 Apr, 2023

Bayar zakat fitrah dalam penerbangan pulang ke kampung halaman? Boleh guna aplikasi Zakat di Langit!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Ikhlas Com Travel Sdn Bhd (Ikhlas), platform gaya hidup patuh syariah Capital A melancarkan Zakat di Langit untuk memudahkan umat Islam membayar zakat termasuk zakat fitrah dalam penerbangan pulang ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Penumpang AirAsia boleh membuat bayaran zakat fitrah secara tunai kepada anak-anak kapal yang mewakili Ikhlas dengan pilihan untuk disalurkan kepada Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman (LZNK), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) atau Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas, Ikhlas Kamarudin berkata, “Ikhlas diberi amanah oleh badan-badan zakat tersebut sebagai rakan usaha sama untuk membantu meningkatkan jumlah kutipan zakat mereka demi kebaikan ummah.

“Sebagai ejen kutipan zakat berlesen, kami diberi kebenaran untuk mengutip semua jenis zakat menerusi semua platform Ikhlas termasuk aplikasi mudah alih, laman web dan alternatif lain termasuk kaedah terbaharu yang kami lancarkan dengan usaha sama AirAsia iaitu Zakat di Langit.”



Zakat di Langit merupakan inisiatif terbaru Ikhlas untuk memudahkan penumpang Islam membuat bayaran zakat dalam penerbangan AirAsia. 

Ikhlas merupakan ejen yang diiktiraf dan diberi lesen oleh pelbagai institusi zakat negeri untuk mengutip semua kategori bayaran zakat.

Di bawah inisiatif tersebut, Ikhlas bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan AirAsia untuk membantu umat Islam membayar zakat dalam penerbangan. 

Penumpang yang ingin membuat bayaran boleh mendapatkan bantuan anak kapal yang bertugas. Mereka perlu mengisi borang yang akan dikumpul bersama bayaran zakat sebelum tiba ke destinasi masing-masing.

Ikhlas Zakat menyediakan khidmat dalam dan luar talian untuk memudahkan proses pembayaran zakat fitrah (negeri terpilih sahaja), zakat pendapatan, harta, perniagaan, wang simpanan, saham, KWSP/LTAT, emas dan perak juga qadha zakat.



Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata zakat ialah rukun Islam ketiga yang wajib ditunaikan oleh umat Islam. 

Allah SWT menggandingkan kewajipan mendirikan solat dengan berzakat dalam puluhan ayat al-Quran seperti ayat 43 surah al-Baqarah. Ini menunjukkan bahawa zakat itu merupakan satu kewajipan yang tidak terpisah daripada kewajipan utama iaitu mendirikan solat. 

“PPZ-MAIWP sangat mengalu-alukan usaha sama bersama ejen kutipan zakat seperti Ikhlas dalam membantu meningkatkan kutipan zakat. 

"Kami percaya platform Ikhlas mempunyai pengguna dan tarikan tersendiri untuk membantu meningkatkan kesedaran masyarakat. Kami juga perlu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi dengan mempelbagaikan saluran bayaran zakat,” katanya.

Sehingga kini Ikhlas berjaya mengumpul kutipan zakat lebih RM5.2 juta sejak mula memperkenal perkhidmatan itu pada 2020. 

Khusus untuk para pembayar zakat, Ikhlas menawarkan mata ganjaran AirAsia bagi setiap transaksi juga peluang memenangi pakej Ikhlas Umrah.

Dilancarkan sewaktu pandemik pada Oktober 2020, Ikhlas merupakan platform kembara dan gaya hidup patuh syariah yang direka khusus untuk membantu umat Islam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mudah. - KitaReporters/Kenyataan Media


10
9
0
14
0
You will be interested