Bisnes & Ekonomi 05 Jan, 2025

Tekad VFive 2025! Rancang terokai hartanah, RE dan konsesi! Sasar nilai pesanan bisnes RM1 bilion!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 dan Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022. E-mel: [email protected]

Share this

 

MOHD. Syafiq Abdullah diapit oleh Mohd. Rizal Mohd. Jaafar (kiri) dan Ahmad Khairul Jenal dalam sidang media sempena  Makan Malam Tahunan VFive Group 2024 di Putrajaya. - Kredit foto: VF


PEMBANGUNAN hartanah, konsesi dan tenaga boleh diperbaharu (RE) menjadi tiga cabang baharu perniagaan untuk diterokai VFive Group apabila menguak pintu tahun baharu 2025 demi mempelbagaikan sumber aliran pendapatannya.

Syarikat milik penuh Bumiputera yang bertapak pada 2012 itu, mengambil langkah progresif daripada cabang teras sedia adanya - pengiklanan, media dan pengurusan acara, perdagangan am, perkhidmatan dan pelatihan kerja, pengurusan kemudahan, pembinaan dan teknologi maklumat.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengasas VFive Group, Datuk Mohd. Syafiq Abdullah berkata, langkah tersebut seiring cabaran dunia perniagaan masa kini yang memerlukan syarikat mempelbagaikan cabang perniagaan.

“Langkah strategik ini ialah sebahagian visi besar syarikat untuk terus berkembang dan mencipta impak meluas dalam sektor perniagaan,” katanya pada Majlis Makan Malam Tahunan 2024 VFive Group bertemakan ‘Satu Malam Yang Anggun – Dijalin Oleh Perpaduan, Didorong Oleh Kejayaan’.


MAJLIS Makan Malam Tahunan 2024 VFive di Putrajaya bermandikan cahaya dan bunga api sesuai dengan temanya, 'Satu Malam Yang Anggun – Dijalin Oleh Perpaduan, Didorong Oleh Kejayaan’. - Kredit foto: VF


Dalam sidang media sempena majlis itu di sebuah hotel di Putrajaya pada 30 Disember 2024, VFive menurut Syafiq akan mula bertumpu kepada hartanah di kawasan pinggir bandar Selangor, Putrajaya, Johor dan Kelantan.

“Beberapa negeri sedang diselidik dan dikenal pasti tetapi kami kena buat kajian kebolehlaksanaan yang lanjut. Lokasinya menarik dan strategik untuk pembangunan hartanah dan VFive akan mulakannya pada suku kedua 2025,” katanya yang juga Pengasas syarikat.

Turut hadir dalam sidang media dan makan malam tahunan yang dihadiri 600 orang itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr. Mohd. Rizal Mohd. Jaafar dan Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Khairul Jenal.

“Sasaran pasaran VFive dalam pembangunan hartanah itu ialah perumahan mampu milik termasuk untuk golongan M40 (berpendapatan sederhana) juga.

“Kami terbuka untuk kawasan dikenal pasti yang satu daripadanya menerusi usaha sama selain akan membangunkan tanah sendiri syarikat,” kata Rizal.


VFive Group mahu menerokai pembangunan hartanah, tenaga boleh diperbaharui dan konsesi apabila memasuki lembaran tahun baharu 2025. - Kredit foto: VF


Dari segi angka pencapaian, VFive menurut Syafiq berjaya meraih pesanan perniagaan bernilai RM450 juta pada 2024 yang cuba ditingkatkan kepada RM1 bilion pada 2025 dengan bantuan tiga cabang baharu berkenaan.

“Ini antara usaha dan pilihan VFive dalam mempelbagaikan pendapatan kerana kami cuba kurangkan pergantungan kepada sektor kerajaan antara 70 hingga 80 peratus.

"Peluasan industri ini juga menunjukkan keberanian dan wawasan syarikat ini untuk merebut peluang baharu.

“Kami nampak pada suku ketiga 2024 permulaan syarikat yang baik, begitu juga suku keempat 2024 dan mahu membawa (momentum itu) dan berharap dalam suku pertama 2025 menjadi lebih baik,” katanya.

Mengenai tenaga boleh diperbaharu (RE) kata Rizal, penyediaan pam solar dan penyimpanan bateri merupakan antara yang turut akan diterokai VFive dengan rakan kongsi yang dikenal pasti dalam sektor kerajaan dan syarikat berkaitannya.  

Syafiq menjelaskan, pemelbagaian sumber pendapatan ini turut memberi peluang kakitangan untuk memperkasa kemahiran mereka malah membuka lebih banyak ruang dan peluang yang menjamin masa depan.


MOHD. Syafiq Abdullah (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan CSR VFive kepada wakil Maahad Tahfiz Furqan Lil Banat (kiri) pada majlis Makan Malam Tahunan 2025 di Putrajaya sambil disaksikan Mohd. Rizal Mohd. Jaafar (dua dari kiri) dan Ahmad Khairul Jenal. - Kredit foto: VF


VFive Group juga kekal mengutamakan kebajikan kakitangan sebagai kunci kejayaan syarikat kerana berkat perkongsian nikmat ini dapat dimanfaatkan oleh syarikat dan kakitangan yang juga seperti keluarga. 

Syarikat katanya, turut prihatin dengan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan terus membantu atau berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan dengan sejumlah RM25 juta diperuntuk pada 2024 dan bakal dipertingkat kepada RM30 juta pada 2025.

CSR yang dikendalikan menerusi Yayasan VFive termasuk Program Kembara Beras Amal, Berkat Jumaat, Gerobok Rezeki, sumbangan daging korban dan bakul makanan, pendidikan dan umrah serta bantuan mangsa banjir yang mahu merancakkan pembangunan modal insan komuniti yang kurang berkemampuan, katanya. - KitaReporters


MENTOR motivasi terkenal, Datuk Wira Dr Azizan Osman (dua dari kiri) menerima plak penghargaan atas bimbingannya dalam bisnes daripada Mohd. Syafiq Abdullah (dua dari kanan). - Kredit foto: VF 

 

 

 

10
16
0
10
0
You will be interested