Bisnes & Ekonomi 09 Jul, 2025

Uptown Setapak Indah moving up! Berpindah ke Bazaria Wangsa Maju! Lebih luas, selesa, lengkap!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

 

Bazaria Wangsa Maju bagi menggantikan Uptown di Setapak Indah siap sedia menanti kunjungan orang ramai mulai Ogos 2025.


SETELAH beberapa tahun beroperasi di Taman Setapak Indah, Setapak, Kuala Lumpur, Bazaria Larut Malam atau Uptown menutup tirai. Mulai Ogos, operasi bazar berpindah ke bangunan baharu, Bazaria Wangsa Maju, yang lebih luas, selesa dan lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Mulai 15 Julai, para peniaga akan mula berpindah ke bazaria tersebut di Jalan Genting Klang, Setapak. Operasi bazar di lokasi baharu ini bermula pada Ogos 2025.


Kompleks Bazaria Wangsa Maju yang cantik selesa di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur bakal mula beroperasi Ogos 2025 ini.


Pada 30 Jun 2025 lalu, bertempat di Bazaria Wangsa Maju, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan surat tawaran kepada 400 peniaga yang layak berniaga di tempat baharu.

Pihak DBKL juga mengeluarkan notis kepada peniaga mengosongkan tapak Uptown di Setapak Indah selewat-lewatnya pada 14 Julai 2025. Tiada masa tambahan diberi. Barangan yang tidak dipindah akan disita atau dilupus.


Para peniaga pada majlis penyerahan surat tawaran berniaga di Kompleks Bazaria Wangsa Maju pada 30 Jun 2025 lalu.


Jika ‘Uptown’ berkonsep terbuka, terdedah kepada hujan dan panas, kini ia akan beroperasi di sebuah bangunan tetap, tidak berpindah randah seperti sebelum ini.

Uptown mula beroperasi di Taman Danau Kota, Setapak. Setelah beberapa tahun beroperasi, dan mengambil kira masalah kesesakan di Danau Kota sehingga menimbulkan rungutan penduduk, Uptown berpindah di lokasi sementara di Setapak Indah, berhampiran tapak asal di Danau Kota.

Akhirnya kini ia berpindah ke lokasi tetap di Jalan Genting Klang di persimpangan jalan ke Taman Sri Rampai, tidak jauh dari Setapak Indah. Kedudukannya strategik, berhampiran pusat beli belah Setapak Sentral, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan dan Kem Wardieburn.

Perpindahan uptown ini signifikan. Peniaga kini mempunyai ‘rumah tetap’, tidak lagi perlu berhijrah ke sana sini. Berniaga di sebuah kompleks dua tingkat adalah satu pengalaman baharu yang menyeronokkan, kondusif untuk peniaga dan pengunjung. Ia dilengkapi eskalator, lif dan sisitem pengudaraan.


Ruang niaga bersih dan moden disediakan untuk peniaga Bazaria Wangsa Maju.


Eskalator disediakan untuk kemudahan pengujung turun naik dari tingkat bawah ke atas dan sebaliknya.


Usaha DBKL menyediakan kemudahan ini wajar dipuji. Para peniaga harus berterima kasih kerana dapat berniaga di kompleks selesa, terlindung daripada hujan dan panas.

Banyak unit kedai pelbagai jenis, daripada fesyen, makanan hingga aksesori. Perniagaan lebih teratur dan berdaya saing. Selain kios menjual barangan dan pakaian, terdapat gerai makanan, surau, parkir dan gelanggang futsal untuk kegunaan komuniti setempat, serta pejabat pengurusan.

Juga terdapat pentas persembahan serta pentas utama untuk aktiviti komuniti, showcase produk dan hiburan malam minggu. Aktiviti ini memberi peluang pengunjung bersantai, membeli belah sambil berhibur.

Kompleks mudah diakases dari Jalan Genting Klang. Parkir juga senang. Terdapat ruang parkir luas bertingkat dan di sekeliling tapak bangunan.


Laluan ke parkir tingkat atas di Bazaria Wangsa Maju, Setapak.


Bazaria Wangsa Maju mengutarakan konsep Uptown dan Pasar Malam terkini, dengan tarikan seperti fesyen lelaki dan wanita, makanan jalanan viral, jersi dan pakaian sukan serta aksesori gajet dan gaya hidup.

Kawasan makan atau food court disediakan untuk menjamu selera. Selain itu terdapat surau, tandas awam, kawasan rehat dan ruang anak-anak bermain. 

Juga bakal ada adalah kemudahan mesin teller automatik (ATM). Program promosi khas dan event mingguan juga bakal diadakan.


Tandas serba moden dan cantik disediakan di Bazaria Wangsa Maju.


Tempat menjamu selera yang luas dan selesa untuk kemudahan pengunjung Bazaria Wangsa Maju.

Pengurusan bazaria ini lebih efisen, kawalan keselamatan lebih sistematik dengan menggunakan TV kamera litar tertutup (CCTV). 

Kompleks Bazaria Wangsa Maju yang beroperasi dari pukul 8 malam hingga 2 pagi dijangka mampu menarik ramai pengunjung, seterusnya jadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat serta menyumbang kepada kesejahteraan warga kota. -KitaReporters


Tempat permainan kanak-kanak di Bazaria Wangsa Maju.

18
17
0
18
0
You will be interested