Bisnes & Ekonomi 08 Sep, 2019

D'HERBS: ALIFF SYUKRI MAHU 'STOP' JUAL MUKANYA!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this
SIAPA tidak mengenali usahawan kosmetik popular, Dato Seri Aliff Syukri Kamarzaman yang sejak 12 tahun lalu mengusahakan jenama D'Herbs?

Aliff Syukri  bersama Diana Danielle dan isterinya, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid (kiri) pada majlis penjemamaan semula D'Herbs di Flora Terrace, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Malah semua pun maklum, Alif yang terkenal dengan gelaran 'Abang Terlajak Laris' ini sering menggunakan dirinya sendiri untuk melariskan produk D'Herbs  sehingga ada netizen yang melemparkan komen buruk terhadap tingkah lakunya yang  terpekik terlolong gara-gara menjual produk.

"Sekarang, saya tidak mahu lagi menjual wajah saya. untuk produk sendiri. Saya mahu 'lari' daripada perniagaan cara lama. Dah lapuk untuk era sekarang di mana generasi muda mahukan produk yang nampak ada kelas," jelas Aliff Syukri. 

Sehubungan itu,  pengasas D'Herbs ini mengambil langkah penjenamaan semula jenama D'Herbs ke arah pasaran global agar produknya itu tidak lagi dilihat sebagai jenama 'kampung'.

"Perubahan ini perlu dilaksanakan agar D'Herbs terus relevan dan kekal menjadi jenama kosmetik tempatan No 1 di Malaysia malah mampu dipasarkan ke peringkat Asia Tenggara seperti di Brunei, Singapura dan Indonesia, " jelas Aliff pada majlis pelancaran penjenamaan semula D'Herbs di Flora Terrance, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebagai langkah awal ke arah pasaran global, D'Herbs melantik pelakon terkenal,  Diana Danielle sebagai Duta Produk Jus Perawan yang merupakan produk 'killer'  keluarannya.

Barangkali anda akan tertanya-tanya kenapa memilih seorang ibu yang dah beranak dua sebagai duta bagi produk yang tertera jus perawan?

Ini jawapan Aliff: “Diana seorang pengguna bahan-bahan organik dan semula jadi, jadi amat bertepatan untuk diperkenalkan sebagai duta jus Perawan yang menggunakan herba-herba asli 100% tanpa pengawet. Lagi pun Diana nampak awet muda walau pun dah beranak dua.”

Menjelaskan lanjut Aliff Syukri memberitahu, penjenamaan semula D'Herbs menampilkan rangkaian produk kesihatan dan kecantikan. 

Sebanyak 20 produk daripada jualan terbaik sepanjang 12 tahun keberadaanya di pasaran akan dijenamakan semula dengan beberapa formulasi terbaharu supaya kualitinya dapat dipertingkatkan sejajar dengan keperluan semasa.

Dalam usaha ke arah itu, Aliff Syukri merancang memperkenalkan modul perniagaan yang baharu dengan membuka peluang kepada stokis/pengedar untuk membuka outlet perniagaan di pusat beli-belah terkemuka seluruh negara.

Merasmikan pelancaran produk Jus Perawan bersama Diana Danielle.


Jelasnya, pembukaan outlet perniagaan D'Herbs di seluruh negara diharap mampu memberikan impak branding yang lebih besar bagi sesebuah jenama kosmetik tempatan.

"Kami tidak hanya mahu memfokuskan pengguna daripada golongan B40, jadi diharapkan dengan penjenamaan semula ini ia dapat menarik minat golongan M40 dan T20," tambah Aliff yakin.

Usahawan berusia 32 tahun ini bakal membawa kesemua produknya untuk diperkenal dan dijual di pusat beli-belah ternama setanding dengan jenama saingannya.

"Saya sedar anak-anak muda Malaysia sekarang sukakan barangan eksklusif terutama yang dijual di gedung ternama seperti Sephora dan sebagainya. 

"Ikutkan hati, saya tidak mahu meneruskan jenama D'Herbs tetapi permintaan masih tinggi. Bayangkan tanpa promosi besar pun, saya mampu menjana pendapatan lumayan hasil penjualan produk D'Herbs," tambah Aliff.

Kini, dua lokasi pertama yang dipilih 'Abang Terlajak Laris' ini adalah di beberapa pasar raya AEON BIG dan pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya.

Dalam pada itu, Aliff Syukri turut merangka pelan pembangunan syarikat  agar D'Herbs dapat disenaraikan pada papan Bursa Saham Kuala Lumpur.

"Insya-Allah, itulah harapan saya buat mengukuhkan lagi pasaran D'Herbs untuk masa hadapan yang lebih globalisasi," akhiri jutawan muda ini penuh harapan.

Aliff Syukri tidak melepaskan peluang bergambar kenangan bersama 'jutawan-jutawan' yang banyak membantunya dalam membangunkan D'Herbs selama 12 tahun.


1
0
0
0
0
You will be interested