Presiden Angkasa, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah menafikan sekeras-kerasnya hubung kait mengenai kewujudan sebuah akaun TikTok palsu yang menggunakan nama dan imej beliau dengan tujuan mengelirukan orang ramai. Akaun yang menggunakan nama @datok_drfattah dikesan memuat naik kandungan video berasaskan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang menyerupai beliau. - KitaReporters

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah menafikan sekeras-kerasnya hubung kait mengenai kewujudan sebuah akaun TikTok palsu yang menggunakan nama dan imej beliau dengan tujuan mengelirukan orang ramai.
Akaun yang menggunakan nama @datok_drfattah tersebut dikesan memuat naik kandungan video berasaskan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang menyerupai beliau dan menyampaikan mesej berkenaan “berkongsi rezeki” serta “bantuan kepada orang ramai” melalui pautan WhatsApp yang diletakkan pada ruangan profil.

Beliau ataupun mana-mana warga Angkasa tidak pernah mewujudkan atau mengendalikan akaun TikTok tersebut dan segala mesej atau tawaran yang disampaikan melalui akaun itu adalah palsu dan berunsur penipuan.
Orang ramai dinasihatkan untuk tidak terpedaya dengan klik pautan WhatsApp oleh akaun TikTok tersebut, tidak memberikan sebarang maklumat peribadi atau kewangan dan segera melaporkan akaun tersebut kepada pihak TikTok untuk tindakan lanjut.
Untuk makluman beliau hanya mempunyai satu sahaja akaun rasmi TikTok dengan nama pengguna @datukseridrfattah
Beliau memandang serius penyalahgunaan nama dan imej ini kerana ia bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat malah berpotensi menjejaskan reputasi beliau dan Angkasa.
Sehubungan itu, beliau telah mengambil langkah sewajarnya termasuk membuat laporan polis di Balai Polis Kelana Jaya pada 3 Ogos 2025.
Beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa berwaspada dengan taktik penipuan siber yang semakin licik termasuk penggunaan teknologi AI untuk memalsukan suara dan wajah tokoh-tokoh ternama.
Kesedaran dan kerjasama semua pihak adalah kunci dalam mencegah kerugian dan memastikan keselamatan maklumat peribadi.

Orang ramai dan anggota koperasi dinasihatkan untuk hanya merujuk kepada saluran komunikasi rasmi Angkasa bagi mendapatkan sebarang maklumat, pengumuman atau kenyataan daripada Presiden atau pihak pengurusan tertinggi.
Maklumat rasmi hanya akan disalurkan melalui laman sesawang rasmi Angkasa, akaun media sosial rasmi, dan siaran media yang disahkan. - KitaReporters/Kenyataan Media