Bisnes & Ekonomi 21 Nov, 2023

KUSKOP tawar 2 skim baharu! Skim Pembiayaan Usahawan Kraf! Program Rangsangan Koperasi Pelancongan!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this

Ewon Benedick berucap di Majlis Bengkel Sulaman Siling Tradisi, di Sabah 


Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP)  akan memperkenal dua skim baharu bagi melonjakkan lagi pembangunan keusahawanan dan koperasi di negara ini, khususnya di Sabah.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, berkata dua skim baharu tersebut ialah Skim Pembiayaan Usahawan Kraf yang dilaksanakan oleh TEKUN Nasional dan Program Rangsangan Koperasi Pelancongan yang akan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).


Ewon menyampaikan sijil pada salah seorang peserta bengkel.


Mengenai skim usahawan kraf, Ewon menyatakan pembiayaan yang disediakan adalah sehingga maksimum RM100,000 kepada usahawan-usahawan mikro dan kecil dalam seni kraf, baju batik, kraf tangan, cenderamata dan perusahaan dalam sektor kraf. 

Berkenaan dengan pakej rangsangan koperasi pelancongan, Ewon menyatakan sebanyak RM2 juta juga disediakan oleh KUSKOP melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi menyokong pembangunan sektor pelancongan melalui rangsangan pembiayaan penginapan homestay (rumah inap), inap desa dan rumah tumpangan yang dioperasikan oleh koperasi pelancongan.

“Di bawah program ini, kita akan membiayai sebahagian daripada harga pakej penginapan yang disediakan oleh koperasi-koperasi pelancongan. Ini bererti pelancong akan membayar harga yang lebih murah apabila berkunjung dan menginap di homestay, inap desa dan rumah tumpangan milik koperasi pelancongan.

“Program ini saya yakin dapat memberi manfaat kepada koperasi-koperasi pelancongan desa dan merupakan sumbangan awal kita ke arah Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 supaya pelancong juga berkunjung ke pusat-pusat pelancongan milik koperasi yang mempunyai pakej penginapan. Saya bercadang untuk melancarkan program ini di Sabah pada awal tahun hadapan,” katanya.


Ewon melawat Tamu Sangadau Donggongon, Penampang, Sabah 

Ewon menyatakan demikian semasa berucap merasmikan Bengkel Sulaman Siling Tradisi anjuran bersama Persatuan Unduk Ngadau Sabah (PUNS) dan SIDMA College, di Panampang pada 18 November 2023 lalu. 

Mengenai bengkel tersebut, Ewon menyatakan harapan beliau agar para peserta akan menjadi usahawan mengeluarkan pakaian tradisi atau perkhidmatan lain yang berkaitan dengan pakaian tradisi etnik Sabah.

“Di bawah pelbagai skim melalui agensi-agensi KUSKOP, para peserta bengkel yang menjalankan perniagaan dalam perkhidmatan ini boleh memohon pembiayaan. 

"Malah jika ada usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan melalui perolehan mesin, automasi dan digitalisasi bagi meningkatkan produktiviti, kita juga telah melancarkan skim geran usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak di bawah Bumiputera Enterprise Enhancement Program (BEEP) Plus oleh agensi SME Corp untuk tujuan ini.

“Bengkel ini penting untuk mewariskan pengetahuan dan kemahiran sulaman siling kepada generasi muda, tetapi sebagai Menteri Usahawan, saya ingin melihat peserta-peserta bengkel tampil menjadi usahawan sebenar dan berkunjung ke agensi-agensi KUSKOP untuk mendapatkan perkhidmatan atau pembiayaan yang berkaitan,” katanya.

Ewon melalui peruntukan khas beliau telah menyalurkan geran aktiviti kepada PUNS sebanyak RM20,000 bagi tahun ini (2023) dan bersetuju untuk menggandakan jumlah geran tersebut pada tahun hadapan (2024) agar persatuan dapat menganjurkan program-program keusahawanan dan pendidikan terutama kepada golongan wanita. - KitaReporters


15
8
0
15
0
You will be interested