Malaysia menyasarkan perkongsian tenaga boleh diperbaharui atau renewable energy (RE) sumber tenaga sedia ada kepada tahap 35 peratus menjelang 2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia juga akan mempergiat pelaburan dalam teknologi hijau dan tenaga baharu.
"Fokus utama Majlis Tenaga Negara (MTN) adalah untuk meningkatkan perkongsian tenaga boleh diperbaharui kepada 35 peratus menjelang tahun 2030, memperluas akses grid terbuka, serta mempergiat pelaburan dalam teknologi hijau dan tenaga baharu.
"Ini sejajar dengan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), iaitu untuk memperkukuh sistem tenaga negara yang lebih inovatif, berdaya saing dan inklusif, demi menjamin kesejahteraan rakyat serta kelestarian masa depan Malaysia," jelas beliau.
Terdahulu Perdana Menteri, mempengerusikan Mesyuarat MTN Bilangan 2 Tahun 2025 pada Rabu, 12 November 2025.

Katanya, mesyuara turut membincangkan Pelan Hala Tuju Gas Asli (NGR) yang dibentangkan oleh Kementerian Ekonomi.
"Mesyuarat membincangkan dan bersetuju dengan strategi mampan yang digariskan di bawah NGR bagi memastikan keterjaminan tenaga negara terus terpelihara dalam menyokong pertumbuhan sosioekonomi serta peralihan ke arah ekonomi rendah karbon," tambah beliau.
Selain itu, kata Perdana Menteri, mesyuarat turut bersetuju dengan unjuran permintaan dan pembekalan elektrik bagi pusat data berdasarkan penilaian terkini oleh Suruhanjaya Tenaga.
"Mesyuarat juga meluluskan pembangunan Platform Perkhidmatan e-Mobiliti (e-Mobility Service Platform) yang akan menyepadukan dan menyelaras operasi stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara," ujar beliau lagi.
Beliau menjelaskan: "Kerajaan Madani kekal fokus dalam menterjemah aspirasi peralihan tenaga negara untuk menjadikan Malaysia peneraju ekonomi rendah karbon yang mampan dan berdaya tahan." - KitaReporters/Kenyataan Media
