Bisnes & Ekonomi 15 Aug, 2025

Tidak setuju caj penghantaran minimum standard! Boleh kurangkan aktiviti pembelian online! - MAMBA

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this


Persatuan Perniagaan Mikro Malaysia (MAMBA) menyuarakan kebimbangan berhubung perbincangan yang semakin meningkat mengenai cadangan pelaksanaan caj penghantaran minimum standard, sambil memberi amaran bahawa langkah sedemikian boleh mengurangkan aktiviti pembelian dalam talian (pembelian online) secara ketara serta memberi kesan negatif kepada usahawan mikro tempatan dan ekonomi digital secara keseluruhan.

Perkara ini susulan daripada tinjauan di seluruh negara yang dijalankan oleh MAMBA yang melibatkan 720 pengguna dalam talian, yang mendapati 89.3% responden tidak bersetuju dengan pelaksanaan caj penghantaran minimum standard yang lebih tinggi, dengan majoriti memilih kos penghantaran serendah mungkin tanpa mengira jenama kurier.

Tinjauan tersebut turut mendedahkan bahawa 93.5% responden berkemungkinan akan mengurangkan atau menghentikan pembelian dalam talian sekiranya harga penghantaran meningkat. Selain itu, 59% menyatakan mereka akan membeli dengan jumlah yang lebih sedikit sekiranya caj penghantaran minimum ditetapkan.



Mengulas mengenai hasil tinjauan itu, Setiausaha Agung MAMBA, Alvin Low Wei Yan, berkata, “penemuan ini mengesahkan apa yang telah disuarakan oleh peniaga kecil sejak beberapa bulan lalu bahawa sebarang kenaikan caj penghantaran berisiko memperlahankan perkembangan sektor e-dagang yang pesat di Malaysia. 

"Kita mesti mengelak daripada mewujudkan situasi di mana dasar yang berniat baik akhirnya meminggirkan usahawan mikro yang sebenarnya ingin dibantu oleh kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).”

Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030) yang dilancarkan baru-baru ini menggariskan tumpuan baharu negara terhadap usaha meningkatkan keterangkuman digital, memperkukuh daya saing PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) serta membina rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan. 

MAMBA menegaskan bahawa mengekalkan pilihan penghantaran yang mampu milik dan fleksibel adalah kunci untuk mencapai matlamat tersebut.

“Apabila kos penghantaran meningkat, pihak pertama yang terkesan adalah pengguna yang peka terhadap harga dan peniaga kecil dalam talian yang bergantung kepada mereka. 

"Ini secara langsung menjejaskan penyertaan digital dan pertumbuhan pendapatan dalam kalangan peniaga mikro dan butik; kumpulan yang ingin disokong oleh Rancangan Malaysia Ke-13,” tambah Alvin.



Tinjauan tersebut turut mendapati bahawa: 

  • 80.6% pengguna memilih kos penghantaran serendah mungkin
  • 82.9% tidak mempunyai pilihan kurier tertentu dan hanya mengambil kira harga penghantaran
  • 55.3% berpendapat harga penghantaran semasa adalah berpatutan
  • 92.8% tidak sanggup membayar lebih untuk perkhidmatan kurier yang lebih baik dan pantas

MAMBA menyeru agar satu sesi libat urus diadakan bersama pihak berkepentingan industri bagi memastikan sebarang pembaharuan harga penghantaran adalah adil, berasaskan data, dan tidak mewujudkan halangan yang tidak perlu kepada peniaga kecil atau pelanggan mereka.

“Ketika kita bergerak ke hadapan dengan matlamat pembangunan digital dan PKS, perbincangan mengenai caj penghantaran tidak seharusnya mengabaikan realiti pengguna dan kelestarian peniaga. Logistik yang mampu milik adalah tunjang kepada perdagangan dalam talian, khususnya bagi perniagaan mikro,” kata Alvin. - KitaReporters/Kenyataan Media


11
10
0
13
0
You will be interested