Konsep halalan toyyiban bukan hanya mengenai simbol keyakinan dan kepercayaan, atau kebersihan dan kesihatan, tetapi juga sebahagian daripada mesej dakwah dalam amalan, tindakan dan perbuatan kita sebagai orang Islam.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau menyinggung mengenai kepentingan kembali kepada asas dan makna ‘halalan toyyiban’.
"Iaitu suatu pendekatan holistik yang melihat halal sebagai simbol keyakinan dan kepercayaan, selain pertanggungjawaban dan etika dalam penekanan elemen kemampanan, kebersihan dan kesihatan.
"Selain itu, maksud halal adalah berasaskan kepercayaan, dan yang ditonjolkan dalam pameran ini juga adalah sebahagian dari mesej dakwah yang dizahirkan melalui amalan, tindakan dan perbuatan kita," jelasnya.

Anwar berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak Halal Global (GHAS) 2025 dan seterusnya melawat Pameran Antarabangsa Halal Malaysia (MIHAS) di Pusat Pameran dan Daganan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur pada Jumaat, 19 September 2025.
Dalam ucapannya itu, Perdana Menteri merakam penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
"Kedudukan Malaysia dalam bidang halal tentunya bukan perjalanan yang mudah.
"Saya turut rakamkan penghargaan atas pandangan jauh dan berwawasan almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi yang pada ketika itu telah menggerakkan ikhtiar ini bersama dengan kerjasama dan komitmen pelbagai pihak yang membantu membina keupayaan Malaysia dalam bidang halal yang terbukti kukuh dan dipercayai dunia," tegas beliau.
Pada GHAS itu, Perdana Menteri turut menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Palestin mengenai kerjasama ekonomi dan perdagangan. - KitaReporters/Kenyataan Media

