Bisnes & Ekonomi 26 May, 2025

Bina ekonomi ummah yang telus, berintegriti! Anugerah IDEA 2025! Iktiraf perusahaan terbilang Islamik!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this

Antara penerima anugerah IDEA yang diraikan.


Di tengah hiruk-pikuk dunia keusahawanan yang sering mengukur kejayaan dengan angka keuntungan semata-mata, muncul sebuah inisiatif yang berani mendefinisikan semula makna sebenar kemajuan perniagaan. 

Ia adalah pengiktirafan yang bukan sekadar menghargai kecemerlangan kewangan, tetapi menyelami jauh ke dalam nilai-nilai spiritual dan etika murni yang membentuk jiwa sesuatu entiti perniagaan. 

Inilah cerita tentang bagaimana sebuah anugerah, 'Islamic Distinguished Enterprise Award' (Anugerah Perusahaan Terbilang Islamik) atau IDEA 2025, membuka lembaran baharu, membuktikan bahawa integrasi prinsip agama dalam dunia korporat bukan lagi sekadar impian, tetapi realiti yang memacu ke arah kejayaan lebih holistik dan diberkati.

“Apabila kita menggunakan istilah ‘Islamik’ dalam nama anugerah ini, ia bukan hanya satu label, tetapi satu deklarasi bahawa pengiktirafan ini adalah satu amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab,” ujar Presiden Dewan Perniagaan Muslim Insiders, Prof (Adj) Adam Richman ketika ditemui pada Majlis anugerah 'IDEA'  edisi kedua yang berlangsung penuh elegan di Le Meridien Hotel, Putrajaya pada 24 Mei 2025 lalu.

Turut hadir Tunku Laksamana Negeri Sembilan, Tunku Dato' Seri Utama Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Agama),  Dr. Zulkifli Hassan;  Pengerusi Kumpulan KNKV, Datuk Seri Dr. Zurainah Musa; Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Data Systems Sdn Bhd, Lee Shin Mei dan Naib Cancelor UMK, Prof Ts Dr. Arham Abdullah.



Keistimewaan acara ini terletak pada struktur penganjurannya yang kukuh di mana penganjurnya Dewan Perniagaan Muslim Insiders dengan kerjasama strategik Kumpulan KNKV memilih sokongan padu daripada beberapa rakan strategik hebat seperti CTOS Data Systems bagi memastikan integriti dalam setiap keputusan; Universiti Malaysia Kelantan (UMK) atas panduan strategik dan ketelitian akademik; firma guaman Hafarizam Wan Aisha Mubarak dalam memastikan rangka kerja perundangan kukuh; serta Yayasan MIHRAB yang mengingatkan tentang kewajipan memberi kembali kepada masyarakat. 

Ibarat sebuah malam yang dipenuhi berkat dan inspirasi, IDEA Award 2025 menghimpunkam pemain industri dari pelbagai pelosok dunia termasuk penerima anugerah antarabangsa antaranya seperti Muslim Pro (Singapura), Human Appeal (Australia) dan ZTE dari China.

Kesemua mereka bersatu di bawah satu bumbung, bukan semata-mata kerana kepentingan perniagaan, tetapi kerana satu visi yang lebih besar: membina ekonomi ummah yang telus, adil, dan penuh integriti. 

Sejumlah 51 Anugerah meliputi pelbagai kategori industri yang dipecahkan kepada 21 penerima trofi Emas dan 30 trofi Perak disediakan. 

Prof (Adj) Adam Richman, menekankan bahawa anugerah ini bukan sekadar simbolik. Ia adalah satu dorongan kuat untuk lebih banyak syarikat tampil berani mengadaptasi prinsip Syariah dalam operasi mereka, sekali gus memperkukuh ekosistem perniagaan yang berlandaskan nilai Islam. 

Menariknya, penggunaan sistem semakan CTOS dalam proses penjurian disebut sebagai satu langkah yang selari dengan konsep tabayyun, iaitu prinsip meneliti dan memastikan kebenaran sesuatu perkara sebelum membuat keputusan, selaras dengan tuntutan Islam.


Nurulhidayah menerima anugerahnya daripada Prof Dr. Arham Abdullah diiringi Prof Adam Richman.


 “Ketika saya dijemput untuk hadir ke majlis ini, saya sendiri tidak pasti apa sebenarnya IDEA Award ini sehinggalah saya Google dan tidak sangka pula diberikan Anugerah,” ujar pengasas Hotel Teedo, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid. 

Anak Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Dr. Ahmad Zahir Hamidi ini merupakan  penerima  trofi Perak Idea Award dalam kategori Anugerah Keyakinan Pengguna Terbilang (Distinguised Consumer Confidence Award) untuk hotel bertaraf tiga bintang iaitu Hotel Teedo.

Berkongsi sedikit sebanyak mengenai penubuhan Hotel Teedo yang diperoleh daripada perkataan Melayu ‘tidur’ kata Nurulhidayah, beliau menamakannya sedemikian bagi mengangkat nama Melayu ke peringkat global.

“Jadi pelancong asing boleh faham yang tidur itu maksudnya ‘sleep’,” tambah Nurulhidayah sambil memaklumkan jika ada rezeki Hotel Teedo bakal membuka tiga lagi cawangan kemngkinan di Langkawi dan Penang mahu pun di Indonesia dalam tempoh jangkaan 5 tahun.

Dijebak dengan soalan cepu emas penglibatan ayahnya dalam pembangunan hotel jawab Nurulhidayah, “Sejujurnya, dalam bidang apa yang saya ceburi abah memang tidak terlibat,  bukan tak ambil tahu dia tetap ambi tahu cuma dia bukan seorang yang mengajar saya dalam industri perniagaan, Mentor saya adalah suami saya." 

Dengan pelaburan lebih kurang RM1 juta bagi pengubahsuaian Hotel Teedo yang diambil alih daripada Hotel Puduraya terdahulu sambung  Nurulhidayah,” kita bukan pakai duit bapa sendiri tapi pinjam dengan bank jadi ada komitmen untuk bayar bulan bulan.”



Nurulhidayah bersama suami, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff berjkongsi kegembiraan atas kejayaan Hotel Teedo.


Selain Nurulhidayah ramai lagi personaliti dan usahaawan ternama yang hadir menerima anugerah masing-masing antaranya angkasawan negara, Dato Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang mengasaskan tadika berkonsepkan Islamik untuk kanak-kanak, Keedsflix International. 

Ayah kepada tujuh orang anak ini,  menerima trofi Emas Idea Award atas usahanya mengembangkan tadika islamik berkenaan sehingga kini mempunyai 200 cawangan seluruh negara. 


Dr. Sheikh Muszaphar (kiri) bersama teamnya dari Keedsflix International turut menerima trofi emas IDEA daripada Dr. Zulkifli Hassan.


“Pikul anugerah ini dengan bangga, namun pada masa yang sama, galaslah dengan integriti. Setiap gelaran datang bersama kepercayaan, dan setiap pengiktirafan hadir bersama tanggungjawab,” ujar Prof Adam kepada semua penerima.

Sebagai menyokong kenyataan tersebut, beliau mengakhiri dengan petikan Surah An-Nisa, ayat 58:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil.”

Sehunungan itu, Kumpulan KNKV  menegaskan komitmen berterusan mereka dalam membangunkan platform yang memberi kuasa kepada perniagaan, membentuk naratif yang positif, dan menggalakkan kepimpinan yang bertanggungjawab.  - KitaReporters


9
9
0
3
0
You will be interested