MENJELANG Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 10 Februari 2024, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu akan meneruskan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2024
Menerusi skim tersebut, sebanyak
11 jenis barangan telah diwartakan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan
Tahun Baru Cina 2024 peringkat Negeri Terengganu.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata tempoh pelaksanaan adalah selama sembilan hari iaitu empat hari sebelum hari perayaan, sehari pada hari perayaan dan empat hari lagi selepas hari perayaan.
Katanya, 11 jenis barangan akan diwartakan bagi pelaksanaan skim tersebut ialah udang putih, ikan bawal putih, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).
"Selain itu, turut disenaraikan ialah kobis bulat import, ubi kentang import, bawang putih, halia tua import, lobak putih import dan lobak merah," katanya.
Saharuddin Mohd Kia ketika melancarkan Skim Harga Maksimun Musim Perayaan di Kuala Terengganu
Sehubungan itu katanya, semua pihak diharapkan dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan dan mengunakan label merah jambu bagi barangan tersebut.
Saharuddin memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap
mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim berkenaan melalui
Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Tambah beliau, pihak KPDN turut bekerjasama dengan Kementerian
Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan makanan
mencukupi sepanjang musim perayaan ini.
Seramai 117 penguat kuasa KPDN di seluruh negeri dikerahkan
untuk membuat pemantauan dan melakukan pemeriksaan harga sempena
pelaksanaan skim harga maksimum musim perayaan tersebut.
"Pihak kami sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan," katanya lagi. - KitaReporters