Bisnes & Ekonomi 25 Jan, 2023

Perlu akta, peraturan kawal selia industri vape! Elak reka bentuk tarik perhatian golongan bawah umur!

@rahanamd
Bekas Wartawan Utusan Malaysia yang pernah bertugas di Majalah Wanita dan akhbar di Ibu Pejabat Jalan Chan Sow Lin dan biro Kelantan.

Share this


“PERANTI vape adalah untuk kegunaan orang dewasa, terutama untuk penggunaan perokok tegar dalam usaha berhenti merokok. Oleh itu, peranti itu tidak patut kelihatan menarik minat golongan bawah umur dengan menggunakan karakter kartun.

“Sebagai peniaga dan usahawan, kita harus menjalankan peniagaan dengan penuh tanggungjawab supaya produk tidak menarik minat golongan bawah umur dan memastikan ia hanya terjual kepada pengguna dewasa,”

Demikian menurut Presiden Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia (MRECA),  Dato’ Adzwan Ab Manas dalam satu kenyataannya di sini pada 18 Jan 2023.

Tambah beliau, pihak industri telah memberikan kata putus kepada pembekal supaya menghentikan penjualan produk dan perlu ditarik balik daripada pasaran.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penggunaan vape


Baru-baru ini, tular dalam media sosial suatu produk vape yang berbentuk kartun dijual di pasaran. Produk ini dibimbangi pelbagai pihak termasuk industri kerana ia boleh menarik minat golongan bawah umur.

Sehubungan itu kata Adzwan, peraturan mengawal industri vape diperlukan secepat mungkin untuk memastikan terdapat kawalan ke atas produk seumpamanya. Di samping  tidak ada jualan produk dengan reka bentuk yang menarik minat golongan bawah umur.

“Tindakan menjual peranti yang mampu menarik minat golongan bawah umur adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan membuktikan peraturan diperlukan segera untuk mengawal produk supaya tidak ada produk dengan rekabentuk yang menarik minat golongan kanak-kanak.

“Peniaga dan pembekal harus membuat tapisan produk sebelum menjualnya di pasaran dan memastikan ia bukanlah satu produk yang boleh menarik minat golongan bawah umur. Jika ada yang berdegil serta masih menjual produk sedemikian, tindakan harus diambil supaya produk ini tidak kekal dalam pasaran tempatan.



“Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu memperkenal peraturan dengan segera untuk mengawal selia industri vape. Melalui  peraturan, satu garis panduan akan diberikan kepada industri mengenai apa-apa aktiviti yang terlarang.

“Selain daripada dapat memastikan pengguna membeli produk yang mematuhi standard kualiti dan juga keselamatan yang ditetapkan, ia juga dapat mengelak kejadian seperti penjualan produk yang mempunyai rekabentuk yang mampu menarik minat golongan bawah umur,” katanya.

Pada akhir tahun 2021, Kerajaan telah mengumumkan pencukaian ke atas cecair vape bernikotin akan dilaksanakan sebagai langkah kawal selia dan peraturan juga akan diperkenalkan mengawal industri vape. Bagaimanapun, pelaksanaannya telah ditangguhkan sehingga hari ini.

“Industri berharap pihak kerajaan boleh mengeluarkan peraturan dengan secepat mungkin supaya industri mempunyai hala tuju dan memastikan produk dan aktiviti dalam industri dapat dikawal,” tambahnya. - KitaReporters


6
16
0
14
0
You will be interested