Bisnes & Ekonomi 03 Oct, 2024

Jom Melangkah Lebih Jauh! Tapi singgah dulu di Selbiz 2024! 200 reruai usahawan! Artis pun berniaga!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

POSTER majlis pelancaran Selbiz 2024 yang dijadualkan 4 Oktober 2024. - Kredit foto: FB Selbiz


PERNIAGAAN, keusahawanan, kerohanian dan hiburan menjadi empat elemen penting yang digabungkan dalam Ekspo Usahawan Selangor (Selbiz) 2024 pada 4 hingga 6 Oktober 2024 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Setia Alam, Selangor.

Selbiz 2024 yang dibawakan khas oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) juga tampil dengan slogan baharu, “Melangkah Lebih Jauh” selaras matlamatnya membantu para usahawan meluaskan perniagaan mereka di pasaran tempatan malah ke peringkat antarabangsa.

Selbiz yang kembali dianjurkan kali ketiga sejak 2022, dijangka menarik kehadiran lebih besar pengunjung ke 200 reruai usahawan produk makanan, minuman, produk kecantikan, pakaian, peralatan sukan, perkhidmatan dan lain-lain.

Mereka merupakan kalangan usahawan di bawah bimbingan Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) PKNS dan para usahawan lain, lapor satu kenyataan media pada 1 Oktober 2024.


KLINIK Usahawan Selangor yang menawarkan sesi bimbingan atau kaunseling mengenai perniagaan. - Kredit foto: FB Selbiz  


“Sembilan reruai dalam ruangan Fiesta Coffee turut menanti para pengunjung Selbiz 2024 terutama pencinta kopi berserta 20 reruai makanan dan minuman viral untuk dinikmati mereka," lapor kenyataan itu.

Artis-artis terkenal tanah air juga dijangka berniaga di antara reruai ini seperti pelakon Diana Danielle, Fauziah Gous dan penyanyi Gegar Vaganza, Suki Low.  

Turut disediakan ialah info keusahawan agensi-agensi kerajaan negeri yang terlibat dan syarikat-syarikat utama di bawah segmen pemadanan perniagaan.

Terdapat juga perkhidmatan Klinik Usahawan Selangor yang menawarkan sesi bimbingan atau kaunseling mengenai perniagaan secara percuma, tambah kenyataan berkenaan.

Sebagai penggalak kehadiran pengunjung, PKNS dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) juga menyediakan kaunter jualan produk PKPS dan Jualan Ehsan Rahmah dengan harga hasil tani yang lebih rendah.

“Kepada para pengunjung yang berkeluarga, pelbagai aktiviti menarik dan menyeronokkan boleh dinikmati mereka seperti Selbiz Obstacle Run, Magic Show, Petting Zoo dan Family Mini Game.

“Tiga model kereta keluaran baharu berjenama terkenal, BYD turut dipamerkan untuk tatatapan orang ramai malah membuka peluang mereka menjalani sesi pandu ujinya dengan percuma sepanjang ekspo tiga hari ini," menurut kenyataan itu lagi.


CABUTAN Bertuah menanti para pengunjung selain Konsert Gempak oleh artis-artis undangan Selbiz 2024. - Kredit foto: Selbiz 


Selain itu, sesi Selawat@Selbiz bersama-sama beberapa tokoh agama dan perkongsian secara interaktif berkaitan konsep perniagaan dalam Islam pula mengisi elemen kerohanian ekspo sambil diiringi persembahan Kumpulan Hijjaz dan Selawat Taranum Voices.

Bagi menyuntik kemeriahan ekspo dan sajian hiburan terutama untuk pengunjung golongan muda, Konsert Gempak dalam Selbiz 2024 akan menampilkan ramai selebriti hebat seperti Akim & The Majistret, Sarah Suhairi, Hael Husaini, 6ixth Sense, Syamel dan Karyara.  

Orang ramai dialu-alukan hadir untuk menikmati pengalamannya atau mendapatkan maklumat lanjut menerusi selbiz.my. - KitaReporters


 

PERSEMBAHAN Master Teh Tarik Asia antara yang turut mengisi Selbiz 2024. - Kredit foto: Selbiz 

12
7
0
10
0
You will be interested