Industri pertahanan merupakan antara sektor yang paling terdedah kepada amalan songlap dan cekau sekiranya tidak dikawal oleh sistem tadbir urus yang ketat, telus dan berintegriti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) bukan sahaja bertujuan membina keupayaan industri, malah memberi harapan baharu kepada negara.
"Amalan rasuah bukan sekadar merosakkan tadbir urus kerajaan, malah berupaya menghancurkan sistem pertahanan negara serta mengkhianati amanah rakyat yang telah diberikan.
"Pastinya, amat sukar bagi Kerajaan dan juga Kementerian Pertahanan untuk merangka dasar pertahanan serta perolehan terbaik sekiranya setiap inisiatif yang menyentuh kepentingan rakyat dan keselamatan negara dipengaruhi oleh kepentingan peribadi serta dorongan komisen," tegasnya.
Perdana Menteri menegaskan demikian pada majlis Peluncuran DIPN pada 21 Januari 2026.

Anwar berkata, pelaksanaan DIPN mesti berteraskan integriti serta amalan tadbir urus yang baik, khususnya dalam menangani isu rasuah dan penyelewengan demi memastikan keselamatan negara terus terpelihara dan keyakinan rakyat dapat dikekalkan.
"Kita tidak boleh lagi berkompromi dengan amalan bobrok. Keselamatan negara, anak-anak dan masa depan rakyat tidak boleh digadai demi kepentingan peribadi.
"Industri pertahanan mesti dibina atas integriti, bukan komisen," tegas beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media

