MAPIM merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada langkah terbaharu AirAsia yang membenarkan kru kabinnya bertugas dengan berpakaian hijab.
Keputusan ini bukan sahaja selaras dengan tuntutan agama, bahkan membuka ruang lebih luas untuk menghormati identiti dan hak pekerja Muslimah dalam sektor penerbangan.

Bagi MAPIM, perkembangan ini adalah tanda positif bahawa syarikat penerbangan serantau semakin peka terhadap nilai masyarakat Malaysia serta keperluan melaksanakan dasar yang lebih inklusif dan beretika.
Namun pada masa yang sama, MAPIM menekankan bahawa:
1. Pemakaian hijab bukan sekadar soal penampilan
Ia mencerminkan kebebasan beragama, integriti pekerja Muslimah dan penghormatan terhadap prinsip yang dianuti oleh majoriti rakyat negara ini.
2. AirAsia wajar mengembangkan dasar ini menjadi amalan mesra syariah yang menyeluruh
Termasuklah prosedur kerja, garis panduan operasi, penyediaan makanan dan minuman, latihan integriti, serta polisi perkhidmatan pelanggan yang menghormati batasan agama.
3. Industri penerbangan nasional perlu menjadikan langkah ini contoh penting
Malaysia ialah negara majoriti Muslim. Polisi syariah compliant (patuh syariah) bukan halangan kepada profesionalisme atau standard keselamatan, malah mampu memperkukuh reputasi syarikat sebagai entiti yang menghormati budaya dan nilai tempatan.
4. MAPIM komited bekerjasama dalam memberi panduan jika diperlukan
MAPIM sedia berkongsi input dan pandangan bagi memastikan pelaksanaan polisi mesra syariah benar benar memberi manfaat kepada pekerja dan penumpang.

MAPIM percaya bahawa penerimaan yang lebih luas terhadap hijab dan prinsip syariah dalam sektor penerbangan adalah sebahagian daripada perjalanan Malaysia sebagai negara yang mengekalkan identiti Islam dan masa yang sama terus terbuka kepada dunia.
Kami mengharapkan agar langkah AirAsia ini menjadi pemangkin kepada polisi lebih menyeluruh, konsisten dan lestari, selaras dengan aspirasi rakyat Malaysia yang mahukan persekitaran kerja dan perkhidmatan awam yang menghormati nilai Islam.
Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)