Empat penternak ikan dalam sangkar di Kampung Kurnia Jaya, Kamunting dekat Taiping kerugian lebih RM20,000 apabila ikan yang ternakan mati dipercayai akibat keracunan bahan kimia pada 22 November 2025 lalu.

Kejadian itu menyebabkan ternakan seperti ikan keli, tilapia
merah, lampan dan siakap dijumpai terapung di dalam sangkar.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK)
Kampung itu, Yahaya Sidek mendakwa kejadian itu disyaki akibat pelepasan sisa
kilang yang menjadi punca ternakan tersebut mati akibat tercemar.
Katanya, pihaknya menternak ikan dalam sangkar sejak April 2025 lalu dan hasilnya dijangka dapat diperoleh tidak lama lagi.
“Kita mendapati sisa kilang itu dibuang melalui saluran (parit) yang disalurkan ke kawasan kampung di sini yang tidak sepatutnya dilakukan oleh kilang,” katanya pada 28 November 2025.
Yahaya berkata, pihaknya sudah membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan JAS sudah mengambil sampel air di kawasan kolam ternakan.

ikan dalam sangkar yang ditemui mati dipercayai akibat pencemaran di Kampung Kurnia jaya, Kamunting, Taiping.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie ketika meninjau kejadian itu berkata, kematian ikan tersebut dipercayai berpunca pelepasan air berklorin oleh sebuah kilang berhampiran lalu menyebabkan ikan dalam sangkatr milik JPKK mati dan kerugian besar kepada penduduk.
Katanya, perkara ini amat serius kerana ia menyentuh keselamatan
alam sekitar dan memberi Kesan kepada ekonomi penduduk.
“Saya telah melaporkan kepada JAS dan memaklumkan kepada
Exco kerajaan negeri untuk tindakan segera.
“Pelanggaran seperti ini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan kilang berkenaan perlu bertanggungjawan atas kerugian yang berlaku,” katanya. - KitaReporters
