Bisnes & Ekonomi 22 Sep, 2025

Harga RON95 RM1.99! Kelayakan 300 liter sebulan! Untuk setiap rakyat! Program Budi Madani RON95! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Mulai 30 September 2025, setiap rakyat Malaysia boleh membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter dan layak menerima bekalan minyak bersubsidi itu sebanyak 300 liter sebulan seorang.



Manakala, bukan warganegara pula akan dikenakan harga RON95 ialah RM2.60 seliter. Pada masa ini, harga minyak tersebut ialah RM2.05 seliter.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mulai 30 September 2025 ini, kerajaan akan melaksanakan Program Budi Madani RON95 (BUDI95).

"Menerusi inisiatif ini, setiap rakyat Malaysia akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter subsidi petrol RON95. 

"Seiring dengan pelaksanaan tersebut, harga RON95 turut diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter, manakala bukan warganegara akan dikenakan harga RM2.60 seliter.

"Melalui BUDI95, semua warganegara Malaysia, tanpa mengira tahap pendapatan, dengan lesen memandu yang sah dan aktif, akan secara automatik menikmati manfaat ini," jelasnya.

Anwar berkata demikian dalam ucapannya pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Isnin, 22 September 2025.



Kata beliau, usaha ini bertujuan memastikan subsidi diagihkan secara lebih adil kepada rakyat yang layak, di samping mengelakkan sebarang bentuk ketirisan.

"Bagi menjayakan pelaksanaan ini, penggunaan MyKad dan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjadi asas pengesahan, agar hanya warganegara yang memiliki lesen memandu sah menerima manfaat.

"Saya juga ingin mengingatkan rakyat untuk menyemak lebih awal cip MyKad dan lesen memandu masing-masing, supaya tidak timbul masalah teknikal ketika mengisi petrol kelak," tegas beliau.

Katanya, Kementerian Kewangan akan memberi penjelasan dan penerangan terperinci dari semasa ke semasa, agar rakyat benar-benar jelas mengenai pelaksanaan ini. 

"Yang penting, subsidi ini akan diagih secara bersasar, telus dan tanpa ketirisan demi kebaikan seluruh rakyat Malaysia," kata beliau lagi. 



Sementara itu, dalam satu kenyataan lain, Perdana Menteri berkata, seluruh rakyat Malaysia akan menikmati harga baharu RON95 pada RM1.99 seliter dengan hanya menggunakan MyKad di kaunter dan pam, atau menerusi aplikasi stesen minyak.

Manfaat ini akan dinikmati lebih awal oleh anggota polis dan tentera mulai 27 September 2025, serta penerima STR mulai 28 September, katanya.
"Malaysia mengambil langkah berani menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter, tatkala dunia berdepan suasana ekonomi global yang tidak menentu.
"Langkah ini adalah penghargaan tertinggi buat seluruh rakyat Malaysia yang terus gigih bekerja, berusaha dan berkongsi tekad bersama Kerajaan Madani dalam melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara. 

"Kejayaan kita hari ini adalah hasil kekuatan rakyat yang tidak pernah mengalah," tegas Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media

13
15
0
16
0
You will be interested