
Bagaimanapun, penyenaraian itu dianggap, ketika itu, sebagai kejayaan besar FELDA - dengan dana mula operasi RM10.5 bilion, termasuk RM4.45 bilion masuk terus ke dalam syarikat.
Ketika itu, FGV digambarkan sebagai 'harapan baharu' dalam sektor kelapa sawit, dengan potensi besar untuk memperkukuh kesejahteraan peneroka dan ekonomi negara.
Namun dalam tempoh 13 tahun berikutnya, pelbagai isu mula menular -- harga sawit yang tidak menentu, pengurusan kewangan meragukan dan akuisisi tidak menguntungkan -- menyedut reputasi syarikat.
Daripada lonjakan awal itu, harga saham FGV jatuh mendadak -- sehingga tinggal sekitar RM1.30 menjelang pertengahan 2025. Itu bermakna penurunan lebih 70 peratus daripada harga IPO.
Barisan pengurusan dipersoal; beberapa pembelian terlalu mahal dan kurang teliti diselidik, menambah keraguan terhadap ketelusan dan strategi jangka panjang syarikat.
Kejatuhan ini menyulitkan pelabur serta peneroka yang mengharapkan dividen stabil dan pulangan jangka panjang daripada pegangan mereka.
Akhirnya, pada 28 Ogos 2025, FGV disahkan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia selepas FELDA dan pihak berkait menguasai lebih 90 peratus saham.

Menurut kenyataan rasmi, operasi FGV tetap berjalan lancar selepas nyahsenarai, dengan tumpuan baharu terhadap pembangunan mampan dan nilai jangka panjang.
Situasi ini walaupun dilihat sebagai langkah mengundur, namun ia juga membuka ruang untuk penstrukturan semula tanpa tekanan pasaran saham -- peluang untuk FELDA menulis semula legasi yang lebih segar.
Dari segi bisnes hijau, FELDA boleh menggandakan projek ladang solar di tanah yang luas. Ini bukan sahaja menambah sumber pendapatan, malah selari dengan peralihan tenaga negara.
Model inovatif seperti agrivoltaik (agrivoltaic) atau tanivoltan -- gabungan tanaman dengan panel solar -- mampu menjana hasil tambahan tanpa menjejaskan sawit.
Bagi merealisasikannya, FELDA perlu bentuk kerjasama strategik (JV) dengan syarikat tenaga bertaraf antarabangsa, membawa modal, teknologi dan rangkaian pasaran.
Tambahan pula, FELDA boleh akses dana pembangunan hijau dan pelaburan ESG daripada institusi antarabangsa, menerbitkan bon hijau atau sukuk lestari.


Kelapa sawit dalam Bbdang hiliran seperti oleokimia, bioplastik, makanan berasaskan sawit serta biofuel dan industri kecantikan. - Kredit foto: palmoilextractionmachine.com
Menerusi sumber dalaman, FELDA juga masih boleh merasionalisasi aset tidak produktif untuk dijual atau dimanfaatkan semula, sekali gus membebaskan modal untuk transformasi.
Bidang hiliran seperti oleokimia, bioplastik, makanan berasaskan sawit serta biofuel adalah pilihan strategik. Margin lebih tinggi berbanding bergantung semata-mata pada Minyak Sawit Mentah (CPO).
Tambahan pula, sawit mempunyai potensi besar dalam industri kecantikan. Kandungan vitamin E, beta-karotena dan asid lemak menjadikannya bahan utama untuk sabun, losyen, syampu, lip balm dan krim anti-penuaan.
Banyak syarikat kosmetik global sudah menggunakan derivatif sawit seperti asid palmatik (palmitic acid) atau sodium palmate. FELDA boleh mengambil peluang ini dengan mewujudkan jenama kecantikan sendiri atau JV dengan syarikat antarabangsa.
Industri kecantikan menawarkan margin lumayan dan jika FELDA mampu menembusi pasaran eksport, ia akan jadi tonggak baharu pendapatan peneroka.
Dalam tempoh sederhana, FELDA juga perlu integrasi teknologi agritech -- AI untuk kawalan hasil menerusi teknologi Internet of Things (IoT) untuk operasi ladang lebih efisien bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing.

Semua langkah ini mestilah didukung dengan tadbir urus berintegriti, audit ketat dan ketelusan, supaya reputasi boleh dibina semula dan sokongan masyarakat dipulihkan.
Fokus utama adalah menjadikan ratusan ribu peneroka FELDA terbela dengan peluang ekonomi baharu, latihan kemahiran teknologi hijau dan pekerjaan dalam sektor moden.
Walaupun berita nyahsenarai FGV menyedihkan, ia adalah peluang untuk FELDA bangkit sebagai konglomerat hijau, hiliran makanan, kecantikan dan teknologi dengan peneroka sebagai nadi sebenar transformasi. - KitaReporters