TM, melalui cabang yayasannya, Yayasan TM (YTM), telah memperkukuh komitmennya terhadap agenda pembinaan negara dengan mengangkat 35 sekolah di bawah inisiatif Sekolah Angkat Malaysia Madani. nisiatif ini merangkumi sekolah-sekolah di seluruh negara, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar. - KitaReporters
Telekom Malaysia Berhad (TM), melalui cabang yayasannya, Yayasan TM (YTM), telah memperkukuh komitmennya terhadap agenda pembinaan negara dengan mengangkat 35 sekolah di bawah inisiatif Sekolah Angkat Malaysia Madani.
Inisiatif ini merangkumi sekolah-sekolah di seluruh negara, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar, yang digerakkan oleh matlamat luhur Kumpulan TM untuk memperkasa bakat masa hadapan serta membina negara yang lebih inklusif melalui pendidikan dan teknologi.
Teras inisiatif ini ialah program TM Future Skills atau Kemahiran Masa Hadapan TM (TMFS), yang direka untuk meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan pelajar daripada keluarga B40 atau berpendapatan rendah dengan mengintegrasikan teknologi digital ke dalam pengalaman pembelajaran mereka.
Di bawah program ini, sekolah-sekolah “nukleus” terpilih akan dilengkapi dengan hab digital yang bertujuan mencetuskan minat pelajar terhadap penerokaan digital dan subjek STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).
Hab ini dilengkapi dengan pelbagai sumber termasuk PocketLab, kit robotik, pencetak 3D, dron, tablet, serta kandungan pembelajaran digital.
Kurikulum TMFS 2025 turut dipertingkat dengan memasukkan elemen kecerdasan buatan (AI) dan pengaturcaraan (coding), selari dengan tuntutan Revolusi Industri 4.0 serta aspirasi Malaysia dalam melahirkan bakat digital masa hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, “sekolah-sekolah ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pelajar mereka sendiri, malah akan memperluas sokongan dan perkongsian ilmu kepada sekolah-sekolah satelit berhampiran.
"Pendekatan strategik ini membolehkan kami memperluas impak usaha kami di lebih banyak sekolah, dengan anggaran seramai 65,000 pelajar di seluruh negara bakal menerima manfaat daripada inisiatif ini.
“Sejak kami memperkenal program TMFS pada 2023, kami telah menubuhkan tiga sekolah ‘nukleus’ dan memberi manfaat kepada lebih 10,000 pelajar dan 1,000 guru.
"Ini adalah cara kami memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam perjalanan Malaysia untuk menjadi negara digital,” kata Amar.
Sementara itu, pelajar cemerlang Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 dari sekolah-sekolah ini juga layak memohon Biasiswa Young Leaders (Pemimpin Masa Hadapan) TM, yang berperanan sebagai platform untuk mengenal pasti calon bagi Biasiswa Future Leaders YTM, yang menawarkan bantuan kewangan penuh untuk pengajian tinggi.
“Kami sentiasa percaya bahawa pendidikan adalah cara paling berkesan untuk memperkasa masa hadapan.
"Dengan menyokong Sekolah Angkat Malaysia Mdadani sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara, kami memupuk harapan, menyerlah potensi, dan melabur dalam generasi bakat digital negara seterusnya.
"Inilah cara kami mengimbangi kejayaan dengan matlamat luhur, serta merealisasikan aspirasi kami untuk menjadi Digital Powerhouse menjelang 2030,” tambah Amar. - KitaReporters/Kenyataan Media