Bisnes & Ekonomi 28 Jul, 2024

Bukan macam dulu! Transformasi pejabat Pos Malaysia! Kini digandingkan dengan kedai serbaneka, kafe!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

 

Pejabat Pos Gombak yang turut berfungsi sebagai kafe serta Kedai Serbaneka Pos Shop.


BERURUSAN di pejabat pos sambil menjamu selera atau membeli barang runcit. Ini keunikan pejabat pos masa kini. Pos Malaysia telah mengubah pejabat pos daripada hanya fungsi tradisi kepada kafe dan kedai serbaneka, dikenali sebagai ‘Pos Shop’.

Melangkah masuk ke dalam pejabat pos anda bukan sahaja menyaksikan kaunter perkhidmatan yang menyediakan urusan pos seperti biasa, tetapi juga deretan barang runcit dan kaunter makanan serta minuman untuk memenuhi cita rasa pelanggan.  

Oleh itu sambil berurusan, nikmati minuman sejuk atau panas juga makanan ringan seperti kuih muih, aiskrim, sosej, dim sum dan lain-lain. Pendek kata benar-benar seperti suasana di kafe tempat lain. Kerusi meja disediakan dalam suasana santai dan berhawa dingin.

Bagi yang ingin membeli barang runcit seperti yang biasa terdapat di kedai serbaneka, tidak perlu lagi pergi ke tempat lain. Barang yang dikehendaki seperti roti, biskut, minuman dalam tin atau botol, kudapan, kek semua ada.


RUANG urus niaga kaunter Pejabat Pos Gombak lebih lapang dan selesa untuk pelanggan. 


PELBAGAI menu di terdapat di kafe merangkap Pos Shop di Pejabat Pos Gombak, Kuala Lumpur.


Namun pejabat pos berkonsep kedai dan kafe ini masih belum menyeluruh. Pada masa ini ia hanya terdapat di beberapa pejabat pos terpilih sahaja. 

Bermula dengan Pejabat Pos Medan Tuanku di Jalan Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur, diikuti oleh Pejabat Pos Brickfields, Kuala Lumpur. Selepas itu Pejabat Pos Gombak di Batu 5 Jalan Gombak, Kuala Lumpur.

Pos Malaysia merancang menambah pejabat pos berkonsep kafe dan kedai serbaneka ini ke seluruh negara. Menjelang hujung tahun ini beberapa buah lagi dijangka dibuka bagi operasi Pos Shop di Pahang, Selangor dan Melaka.


PELANGGAN beratur memesan makanan dan minuman di kafe Pejabat Pos Gombak.


Melalui Pos Shop, Pos Malaysia menyasarkan serampang dua mata. Di samping memberi khidmat tradisi pos kepada masyarakat di seluruh negara, ia juga menawarkan pengalaman dalam kedai dan kemudahan runcit, juga inovatif untuk memenuhi keperluan ramai.

Selain itu ia merupakan strategi Pos Malaysia mempelbagai perniagaan dengan menceburi segmen peruncitan pula. Langkah ini bertujuan membolehkan Pos Malaysia meraih sumber pendapatan baharu daripada hanya bergantung kepada sumber pendapatan tradisi.

Ini merupakan langkah proaktif memandangkan operasi tradisi pejabat pos dilihat sudah agak mengecil. Misalnya pembelian stem untuk urusan surat menyurat berkurangan dengan adanya emel yang membolehkan maklumat dihantar dan diterima lebih cepat.

Pada musim hari raya tiada lagi ratusan ribu keping kad yang diurus oleh pejabat pos seperti dahulu. Ketika itu, oleh kerana terlalu banyak kad, Pos Malaysia terpaksa memberi tarikh akhir kad dipos untuk sampai ke destinasi sebelum Aidilfitri. Kini ucapan hanya melalui kad digital.  

Kiriman wang atau wang pos juga berkurangan. Penghantaran wang lebih mudah, lebih pantas melalui pemindahan elektronik atau online. Begitu juga bagi bayaran bil utiliti ramai membayar secara online.

Pos Laju pula menghadapi saingan pelbagai khidmat hantaran cepat lain yang banyak di negara ini. Namun perkhidmatan agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Amanah Saham Nasional (ASN) atau Amanah Saham Bumiputera (ASB) masih ada.


PETUGAS kaunter kafe Pejabat Pos Gombak melayani pelanggan membeli makanan dan minuman.


DERETAN barang serbaneka di Pos Shop, Pejabat Pos Gombak.


Bagi menghadapi cabaran ini, memang tepat Pos Malaysia mempelbagai sumber pendapatan. Apa yang dilakukan sekarang adalah strategi sejajar usaha mencapai matlamat tersebut dengan menarik lebih ramai ke pejabat pos. Persekitaran selesa disediakan untuk mereka menjalankan urusan sambil bersantai.

Tinjauan penulis ke Pejabat Pos Gombak mendapati di bahagian luar terpampang papan tanda besar ‘Pos Shop’. Melangkah kaki ke dalam, suasana tenang tidak terlalu sibuk. 

Ruang urusan kaunter yang besar suatu ketika dahulu dengan penyediaan beberapa kaunter, kini dibahagi dua.

Kaunter urusan serta kaunter Pos Laju ada di sebahagian ruang. Di ruang sebelah dipenuhi dengan kaunter jualan makanan dan minuman, juga deretan rak pelbagai barangan runcit serbaneka.

Kerusi meja yang cantik dan selesa disediakan untuk pelanggan menjamu selera. Tempat duduk ini hingga ke bahagian luar. Pilih sahaja hendak suasana sejuk di dalam pejabat pos atau kehangatan udara di bahagian luar.

Untuk melihat sendiri operasi pejabat pos berkonsep kafe dan kedai pos ini serta kemudahan yang ada, datanglah bersama kawan untuk berbual sambil makan minum. Jika tidak ada urusan pos pun boleh datang menjamu selera kerana itulah matlamat transformasi pejabat pos. - KitaReporters


KERUSI meja yang selesa disediakan untuk pelanggan makan minum di kafe Pejabat Pos Gombak.


RUANG dalam Pejabat Pos Gombak dibahagi dua. Sebelah kiri kaunter pos, sementara di sebelah kanan pula, kaunter makanan, minuman dan runcit.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

9
8
0
13
0
You will be interested