Bisnes & Ekonomi 12 Sep, 2024

Wajibkan sijil halal kena dibuat ikut peringkat! Ada banyak usahawan mikro, kecil, sederhana! - DPIM

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) sebuah dewan yang memayungi usahawan Muslim di seluruh negara dan memperjuang agenda Memperkasa Ekonomi Halal sebagai salah satu teras yang digariskan di bawah matlamat penubuhan DPIM. 

Maka, DPIM terpanggil untuk menyatakan pandangan terhadap isu yang telah viral baru-baru ini berkaitan cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan di negara ini memiliki sijil halal. 

Secara amnya DPIM menyambut baik hasrat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengkaji cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan di negara ini yang tidak menghidangkan menu babi dan alkohol untuk memiliki sijil halal. 

Dari sudut pandang kepentingan maslahah umat islam, cadangan mewajibkan sijil halal secara langsungnya memberi jaminan kepada umat Islam kepada capaian sumber makanan halal yang dihidangkan di restoran dan syarikat pengilangan makanan. 

DPIM melihat cadangan ini sebagai satu usaha yang sangat murni dan secara langsungnya akan dapat meningkatkan bilangan capaian sumber halal yang lebih meluas. 

Di samping itu juga, ia dilihat dapat meningkatkan bilangan pemegang sijil halal di Malaysia yang mana akan meningkatkan potensi bilangan pemain industri halal yang boleh diketengahkan pada peringkat global. 



Namun, melihat kepada komposisi jenis perniagaan di Malaysia yang mana terdapat sekitar 1.1 juta perusahaan berstatus mikro, kecil dan sederhana, dengan kebanyakannya adalah terdiri daripada kategori mikro dan kecil, maka DPIM percaya cadangan ini perlu diperhalusi dengan sebaik-baiknya. 

Ini kerana, pada hemat DPIM, rata-rata perniagaan yang berstatus mikro dan kecil tidak mempunyai keupayaan untuk mendapatkan pensijilan halal atas pelbagai faktor antaranya keupayaan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk memperoleh sijil halal dan keupayaan kewangan serta keupayaan operasi yang terhad. 

Dalam hal ini, DPIM ingin mencadangkan agar sesi libat urus diadakan bersama pemegah-pemegang taruh industri halal bagi mendapatkan lebih banyak pandangan dan maklum balas yang mana boleh membantu pihak JAKIM serta agensi-agensi lain kerajaan yang berkaitan untuk mengkaji cadangan ini. 

DPIM juga berpandangan bahawa pelaksanaan mewajibkan pensijilan halal ini boleh dibuat secara berperingkat-peringkat seperti mana pendekatan yang diambil oleh negara jiran kita Indonesia yang telah mewajibkan pensijilan halal ke atas semua produk keluaran mikro,kecil dan sederhana mereka bermula Oktober 2024 ini. 

Jika dilihat dari sudut bilangan penduduk dan perniagaan di Indonesia yang jauh lebih besar dan kompleks, DPIM percaya Malaysia mampu untuk melaksanakannya dengan lebih efektif. 



Dalam masa yang sama, DPIM berpandangan bahawa adalah penting juga usaha-usaha untuk menaik taraf tahap perniagaan usahawan khususnya dari status mikro ke kecil dan ke tahap seterusnya dipergiat melalui pelbagai program-program yang bersifat komprehensif dan tidak silo antara agensi-agensi kerajaan. 

Ini secara langsungnya akan dapat meningkat keupayaan sesebuah perniagaan itu dan seterusnya mampu dan mudah untuk mematuhi aspek-aspek pematuhan pensijilan halal yang telah ditetapkan. 

DPIM yakin dengan pelaksanaan pensijilan halal yang meluas dalam kalangan semua jenis usahawan yang berkaitan secara langsungnya bukan hanya akan memberikan capaian jaminan halal yang lebih meluas kepada umat Islam malah akan dapat meningkatkan bilangan pemain industri halal bukan hanya pada peringkat domestik malah pada peringkat global. 

Sudah pasti ia akan menaikkan lagi imej negara bukan hanya sekadar mempunyai standard pematuhan halal yang terbaik dan dicontohi pada masa ini malah disegani kerana turut mempunyai syarikat berstatus halal yang berdaya saing tinggi.


Dato’ Mohammad Sahar Mat Din 

Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)


7
15
0
11
0
You will be interested