Kenyataan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam akaun Facebooknya pada 29 September 2023
Hari ini (29 September 2023) saya telah menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-60 Lembaga Tabung Haji (TH) di Dewan Besar TH Tun Razak, Kuala Lumpur. Saya turut diapitkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im dan Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Azman Mokhtar.
Penubuhan Lembaga Tabung Haji yang diilhamkan oleh Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid adalah satu zeitgeist atau keperluan ketika itu untuk memperkasa kekuatan ekonomi
umat Islam selain melaksanakan pengurusan Haji.
Walaupun memfokuskan fungsi pengurusan ibadah Haji dan ekonomi, Tabung Haji masih tertakluk kepada tatakelola, pengurusan yang cekap, amanah dan penuh integriti.
Di dalam ucapan, saya kongsi perancangan kerajaan bagi mengembalikan semula aset yang berada dalam pegangan Kementerian Kewangan kepada Tabung Haji. Selain itu, Akta Tabung Haji juga sedang disemak agar dapat diterapkan konsep Maqasid Syariah selari dengan perubahan zaman.
Saya juga singgung kesan ibadah haji yang mempunyai dampak besar kepada usaha meniupkan semangat dan roh perjuangan umat Islam.
Ini sebagaimana rekomendasi Snouck Hurgronje dalam tulisannya “Mecca in the Latter Part of the 19th Century” yang menyarankan agar umat Islam dihalang untuk melaksanakan ibadah haji kerana terdapat sebilangan umat Islam yang mendapat manfaat pengajian dan pertemuan di Tanah Suci, kembali ke daerah membangunkan pondok pesantren yang disifatkan oleh Bapak Mohamad Natsir sebagai benteng akidah dan sahsiah umat pada ketika para penjajah menenggelamkan dan menawan para inteligensia tempatan.
Begitu juga dengan al-Hajj Malik El-Shabazz (Malcolm X) setelah selesai menunaikan ibadah haji telah menulis satu surat yang menukilkan pengalaman mengenai keindahan Islam yang terpancar menerusi ibadah haji. Kesan daripada surat dan pengalaman ini memberi makna kepada perjuangan Malcom X khususnya di Amerika Syarikat.
Justeru, Kerajaan Perpaduan akan terus komited mengangkat dan memartabatkan peranan Tabung Haji agar terus diyakini sebagai institusi umat Islam di Malaysia supaya ia bukan sahaja memberi manfaat secara ekonomi namun lebih penting keberkatan dalam pengabdian kita kepada Allah SWT.
Tahniah kepada seluruh warga Tabung Haji atas sambutan ulang tahun ke-60 tahun ini.
Syabas atas kejayaan cemerlang selama enam dekad mengurus kebajikan jemaah haji Malaysia dan membantu dalam menyumbang ke arah perkembangan ekonomi negara.