Bisnes & Ekonomi 11 Apr, 2025

Bank hijau! Agrobank perintis buka cawangan bank berkonsepkan hijau! Kurangkan bil air, elektik 54%!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: awangani@gmail.com

Share this


AgroBank di Bagan Serai, Perak menjadi cawangan pertama bank yang berkonsepkan hijau ke arah melestarikan teknologi hijau. Ia merupakan inisiatif penting  dalam menunjukkan komitmen institusi terhadap tanggungjawab kepada alam sekitar.

Pelancaran ini sejajar dengan visi baharu Agrobank dalam merealisasikan institusi kewangan terkemuka di Malaysia yang mencapai Karbon Sifar Bersih pada masa hadapan melalui penyelesaian inovatif, pelaburan bertanggungjawab dan penjagaan alam sekitar.

Cawangan Bagan Serai menggambarkan komitmen Agrobank terhadap penjagaan alam sekitar melalui beberapa inisiatif hijau. 

Cawangan ini dilengkapi dengan sistem solar, sistem pengumpulan air hujan 350 liter untuk kegunaan am dan landskap, sistem penyejukan cekap tenaga serta sistem pencahayaan LED yang direka untuk mengurangkan penggunaan tenaga. 

Melalui inisiatif ini, ia dapat mengurangkan bil air dan elektrik bulanan sebanyak 54 peratus.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Rajs Hussin berkata, pembukaan cawangan hijau ini merupakan satu inisiatif penting dalam usaha mencapai pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050. 

"Melalui pembaharuan operasi serta sokongan terhadap pelanggan dalam amalan lestari, kami bukan sahaja dapat mengurangkan jejak karbon terhadap alam sekitar, malah menjadi perintis kepada perubahan dalam sektor pertanian di seluruh Malaysia,"

katanya pada perasmian cawangan Agrobank di Bagan Serai, Perak pada 10 April 2025.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad.



Tengku Ahmad Badli Shah berkata, dengan pelaksanaan cawangan hijau itu, bank Agrobank Bagan Serai dapat menjimatkan penggunaan tenaga elektrik daripada RM2,000 sebulan sekarang kepada RM600 dengan menggunakan tenaga solar.

"Kita dapat menjimatkan kerana semua lampu menggunakan led, sekali gus mengurangkan kos operasi dan memberikan manfaat kepada alam sekitar.

"Selain itu, kita juga menawarkan 30 peratus pinjaman bagi aktiviti hijau dalam sektor pertanian," katanya.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, pihaknya menyasarkan 18 cawangan hijau sehingga hujung tahun ini (2025) dan menambah lagi 50 cawangan menjelang 2026 dengan sasaran keseluruhan sebanyak 138 cawangan hijau.

"’Kos pemasangan panel solar di setiap cawangan dianggarkan antara RM40,000 hingga RM50,000.

"Setiap cawangan akan dipasang dengan sekitar 40 panel solar, yang mampu menghasilkan kira-kira 20 megawatt-jam (MWh) tenaga," katanya.

Selain itu beliau berkata, Agrobank turut merangka beberapa inisiatif strategik untuk mencapai visi kelestariannya, termasuk program offset karbon yang merangkumi stesen pengecasan kenderaan elektrik, kemudahan kitar semula, pinjaman kenderaan elektrik tanpa faedah, Pemeteran Tenaga Bersih, sokongan pertanian bandar dan kerjasama dengan pengeluar produk mesra alam. 

Menurut beliau, pihak bank juga sedang meningkatkan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharu, khususnya sistem Solar PV (fotovoltaik) di samping memperkukuh sokongan kewangan untuk teknologi pertanian lestari seperti pertanian bandar berkeperluan tinggi, sistem bioflok akuakultur dan reban telur ayam automatik.

Katanya, cawangan hijau Agrobank Bagan Serai akan menjadi sebuah model perbankan lestari masa depan di seluruh Malaysia. 

"Ia juga merupakan sebahagian daripada strategi Agrobank yang lebih luas untuk menyelaraskan operasinya yang selaras dengan matlamat alam sekitar negara di samping mengukuhkan komitmen untuk menyokong komuniti tani " katanya. 



Selain itu, majlis perasmian ini turut menyediakan pameran pendidikan berkaitan produk kewangan yang lestari serta demonstrasi teknologi hijau secara interaktif. 

Beliau berkata, ini menunjukkan peranan Agrobank sebagai penghubung antara sektor kewangan dan tanggungjawab kepada alam sekitar.

Sementara itu Nik NaMi berkata, penggunaan amalan hijau merupakan satu perkembangan positif kerana ia baik untuk alam sekitar. Katanya, perubahan iklim memberikan impak kepada sektor pertanian. - KitaReporters

10
14
0
14
0
You will be interested