
Kerangka Ekonomi Madani bukan semata-mata untuk mengejar pertumbuhan makro. Ia adalah pernyataan nilai tentang membela martabat rakyat, memupuk ihsan, dan menjunjung prinsip manusiawi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Jangka hayat rakyat Malaysia kini meningkat kepada purata 76 tahun. Namun secara umumnya, sembilan tahun terakhir dalam kehidupan sering dilalui dalam keadaan melarat, dibayangi pelbagai penyakit dan kerumitan kesihatan.
"Ini menyebabkan kehidupan warga emas memerlukan kos penjagaan yang jauh lebih tinggi demi memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan dengan sejahtera dan bermaruah," jelas beliau.
Bercakap pada ucaptama di International Social Wellbeing Conference (Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa) 2025 pada 17 Jun 2025, beliau berkata, ikhtiar untuk mensejahterakan masyarakat menua menjadi antara sebab utama mengapa Kerajaan Madani mahu memastikan reformasi menyeluruh direalisasikan.

"Lantaran itu, Kerajaan Malaysia Madani telah menggerakkan pelbagai ikhtiar untuk meningkatkan pendapatan rakyat bagi menampung tekanan kos sara hidup dan keperluan kesihatan.
"Ini termasuk peningkatan gaji minimum, pelarasan gaji penjawat awam tertinggi dalam sejarah, serta komitmen GLIC untuk memastikan pekerja menerima sekurang-kurangnya gaji wajar," katanya.
Namun, Perdana Menteri berkata, rakyat juga harus bersedia menghadapi realiti peralihan struktur tenaga kerja ke arah ekonomi gig.
"Justeru, ekonomi negara perlu diangkat secara menyeluruh agar kekayaan yang dijana dapat dilimpahkan secara saksama.
"Program seperti Geran Digitalisasi PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana), Kerangka Industri ESG (Alam Sekitar, Sosial, Tadbir Urus) Nasional, serta bantuan TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) dan BSN (Bank Simpanan Nasional) memainkan peranan penting dalam mengarusperdanakan ekonomi gig ke sektor bernilai tinggi dan inovatif.
"Kerangka Ekonomi Madani bukan semata-mata untuk mengejar pertumbuhan makro. Ia adalah pernyataan nilai tentang membela martabat rakyat, memupuk ihsan, dan menjunjung prinsip manusiawi," ujar Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media
