Dr Mohammad Hardee Ibrahim (berdiri, kanan) melawat salah satu gerai yang mempamerkan bakat individu yang menghidap spektrum autisme.
Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) telah menjalinkan kerjasama dengan The Autism Cafe Project (Projek Kafe Autisme atau ACP), sebuah perusahaan sosial tempatan yang disokong oleh Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), dalam satu inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi memperjuang keusahawanan inklusif dan memperkasa komuniti, melibatkan individu yang dengan Autism Spectrum Disorder (Gangguan Spektrum Autisme atau ASD).
Kerjasama ini juga adalah sejajar dengan sambutan Bulan Autisme Sedunia 2025.
Hari Kesedaran Autisme Sedunia jatuh pada 2 April setiap tahun.
Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim, Pemangku Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, menekankan komitmen SME Bank untuk membina ekosistem Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang menyeluruh – selari dengan agenda Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang juga memberi penekanan kepada kelompok ini di bawah ‘Kumpulan Fokus Khas’.
"Kami berbesar hati dapat memainkan peranan secara langsung dalam membentuk ekonomi yang lebih saksama melalui perkongsian kami dengan ACP dan disokong oleh NASOM, seterusnya menzahirkan dedikasi kami untuk memperkasa usahawan, termasuk individu yang menghidapi autisme.
"Ia selaras dengan hala tuju kelestarian SME Bank dan visi kami untuk mencipta nilai yang bermakna dalam ekosistem PKS, bukan sahaja melalui perkhidmatan kewangan, tetapi juga dengan memberi peluang kepada semua komuniti yang memerlukan.
"Dengan menawarkan alat bantuan serta bimbingan, kami berharap dapat membantu mereka menjadi lebih berdikari, terutama dalam pengurusan kewangan, di samping memberi impak positif dalam kehidupan mereka,” ujar Dr. Mohammad Hardee.
Baru-baru ini, sebuah program yang dilaksanakan selama dua hari telah dijalankan yang bermula dengan Sesi Perkongsian atas talian bersama kakitangan SME Bank, bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran mengenai individu yang menghidapi autisme.
Sesi tersebut menampilkan wakil daripada ACP dan NASOM yang meliputi skop yang menyeluruh mengenai individu autistik – merangkumi kanak-kanak, belia dan golongan dewasa.
Selanjutnya, inisiatif ini disusuli dengan penganjuran bazar yang berlangsung pada hari kedua bertempat di Menara SME Bank.
Bazar tersebut dianjurkan dengan fokus untuk mengetengahkan bakat usahawan autisme melalui pelbagai tawaran, termasuk makanan dan minuman, kraf tangan, karya seni, serta pakaian.
Acara itu juga menjadi platform untuk menyokong para usahawan ini mencapai matlamat perniagaan mereka, disokong oleh kakitangan SME Bank, di mana ini juga adalah selaras dengan usaha sama berterusan untuk memupuk pemerkasaan ekonomi dan kebebasan kewangan.
Dr Mohammad Hardee (dua dari kiri) bersama Mohd Adli Yahya (tiga dari kiri) pada acara yang diadakan oleh SME Bank dengan kerjasama NASOM dan ACP.
Mohd Adli Yahya, Pengasas ACP, memuji SME Bank atas peranan proaktif SME Bank dalam meningkatkan kesedaran mengenai individu yang hidup dengan autisme dan menyemarakkan masyarakat inklusif.
"Dengan memperkasakan individu autistik melalui keusahawanan melangkaui penjanaan pendapatan, ia memupuk maruah, keterangkuman dan penyertaan yang bermakna dalam masyarakat.
"Bersama-sama SME Bank, kami membantu untuk merapatkan jurang sosial, menyatupadukan lebih ramai individu autistik dalam masyarakat, dan membina komuniti yang lebih kukuh dan saksama.
"Usaha ini bukan sahaja menyokong individu autisme, malah menyumbang kepada perubahan sosial yang lebih luas dengan memacu landskap ekonomi yang lebih inklusif dan berdaya tahan,” jelas beliau.
Di Malaysia, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) membentuk 96.9% daripada semua perniagaan berdaftar dan menggaji hampir separuh daripada tenaga kerja negara berdasarkan data daripada SME Corp Malaysia.
Pada masa yang sama, statistik daripada Pusat Kesihatan & Dasar Sosial Galen mendedahkan peningkatan ketara lebih 663% dalam diagnosis autisme antara 2013 dan 2023, dengan kes berdaftar meningkat dari 6,991 kepada 53,323.
Peningkatan mendadak ini menekankan keperluan mendesak untuk inisiatif inklusif yang melengkapkan individu dalam spektrum autisme dengan kemahiran, peluang pekerjaan dan laluan keusahawanan yang diperlukan untuk kemerdekaan yang lebih besar.
Daripada pemerkasaan usahawan yang terdiri daripada golongan yang memerlukan kepada menyokong pendidikan tempatan dan inisiatif kelestarian, SME Bank terus memberi impak kepada komuniti di seluruh negara. - KitaReportersKenyataan Media