
Laluan utama ke kawasan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, Kelantan.
Kecoh dalam media sosial baru-baru ini mengenai penyediaan MyKiosk oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) menerima pelbagai kecaman.
MyKiosk adalah insiatif kerajaan dalam membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan untuk kembali berdaya saing serta meningkatkan keupayaan perniagaan yang secara tidak langsung memperbaiki taraf sosioekonomi penduduk setempat.
Ia memberi manfaat kepada peniaga menerusi pemberian kadar sewaan MyKiosk yang rendah di samping penyediaan ruang niaga yang seragam, selamat dan selesa. Langkah itu juga secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan PBT terbabit melalui sewaan MyKiosk berkenaan.
Mereka menyebarkan kekecohan itu ibarat peribahasa ‘bemban tak gatal’ apabila mengambarkan situasi di mana orang lain atau orang luar yang tidak terbabit langsung dalam masalah berkenaan menjadi terlalu aktif atau kecoh.

Persekitaran MyKiosk kelihatan kemas, bersih dan cantik dengan susunan bungkusan pelbagai barangan makanan kering.
Perkara itu dinafikan sebahagaian besar peniaga kecil di kawasan Zon Bebas Cukai (ZBC) Rantau Panjang, Kelantan, apabila mereka sudah menggunakan kemudahan MyKiosk lebih setahun lalu di bawah projek perintis Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) bermula September 2023.
Peniaga yang temui melahirkan rasa bersyukur kerana terpilih menerima kemudahan gerai MyKiosk yang amat jauh berbeza daripada gerai lama yang dibina daripada kayu dan papan lusuh menyebabkan keadaannya tidak cantik serta mencacatkan permandangan.
Walaupun pernah digenangi banjir besar namun MyKiosk tetap utuh binaannya apabila tidak mengalami kerosakan atau dihanyut air banjir berbanding gerai kayu atau papan yang sudah pasti rosak atau musnah dibawa arus deras.

Peniaga barangan kering di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, Kelantan sudah setahun lebih memanfaatkan kemudahan MyKiosk.
Seorang lagi peniaga enggan namanya disiarkan berkata, MyKiosk yang digunakan itu berbeza dengan MyKiosk yang menjadi kecoh di media sosial kerana tidak dibekalkan kemudahan untuk sistem solar sebaliknya dilengkapi pendawaian elekterik.
Terangnya, namun begitu kemudahan elektrik belum dapat dilengkapi kerana kekangan kos pembiayaan di samping urusan perniagaan di MyKiosk hanya dibuka bermula jam sembilan pagi hingga jam lima petang sahaja setiap hari.
Tambahnya, selain itu MyKiosk berkenaan hanya untuk menjalankan perniagaan menjual barangan kering seperti pelbagai jenis kerepek serta minuman sudah siap dibancuh dan tiada aktiviti memasak dilakukan.
“Saya amat bersyukur dapat menggunakan kemudahan yang disediakan kerajaan ini kerana banyak memberi keselesaan di samping menarik perhatian pengunjung apabila keadaannya kelihatan bersih dan menarik selain sewa yang rendah,” ujarnya.

Pengunjung juga berpeluang berehat seketika sambil menjamah makanan dan minuman yang dijual di MyKiosk.
Rakannya pula berkata, semua peniaga terbabit mengucapkan ribuan terima kasih dan memuji sikap bertimbang rasa pihak PBT yang membenarkan meletak rak tidak kekal dan payung di depan MyKiosk bagi membolehkan peniaga menyusun bungkusan kerepek dan pelbagai makanan ringan untuk dipamerkan kepada pengunjung.
Menurutnya, sebagai menjadi peniaga perintis menggunakan
MyKiosk kemudahan itu tidak menjadi masalah, malah amat sesuai digunakan untuk
mempamerkan barangan jualan dan apabila habis berniaga setiap petang ia dapat
menampung menyimpan barangan untuk dijual pada esok pula.
“Pada musim cuti sekolah kami tidak menang tangan melayani
pengunjung yang datang untuk membeli kerepek malah mereka juga berasa selesa
kerana keadaan persekitaran MyKiosk yang kering dan tidak becah jika hujan
turun.
“Saya pun tidak faham kenapa ramai yang membuat kecoh mengenai MyKiosk sedang mereka boleh datang lihat sendiri kemudahan disediakan ini sudah melata di seluruh Kelantan dimanfaatkan peniaga kecil bagi menambah pendapatan harian keluarga,” ujarnya. - KitaReporters

Selepas selesai berniaga peniaga akan menyimpan barangan kering dan peralatan digunakan dalam MyKiosk.