Bisnes & Ekonomi 29 Jul, 2023

Malaysia Madani Teras Kecemerlangan Koperasi! Bagi angkat darjat gerakan koperasi ke tahap lebih maju!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah berjaya mengadakan sambutan Hari Koperasi Negara 2023 (HKN 23) pada 21 hingga 23 Julai di Sabah International Centre (SICC) Kota Kinabalu, Sabah. 

Datuk Ewon Benedick Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, keseluruhan program ini telah berjaya merekodkan prospek perniagaan sebanyak RM46.9 juta melalui 44 sesi padanan perniagaan. 

Manakala Jualan Koperasi/Usahawan berjumlah RM1,215,090.00, Madani berjumlah RM154,284.00 dan jualan food truck berjumlah RM101,459.00. Keseluruhan jumlah jualan tunai RM1,470,832. 

Jumlah pengunjung yang direkodkan sepanjang 3 hari penganjuran adalah seramai 10,069 orang. Manakala, sebanyak 219 reruai oleh agensi kerajaan, swasta, usahawan dan koperasi telah terlibat dalam karnival jualan dan gerai pameran. 

Pelbagai aktiviti berkaitan keusahawanan diadakan antaranya Pocket Talk, khidmat nasihat perniagaan, bicara niaga inklusif dan kuiz keusahawanan. 

Selain itu, aktiviti-aktiviti lain turut disediakan untuk pengunjung seperti persembahan artis, Coop Explorace, Voice of Coop, Zumba, Pertandingan Video Kreatif dan Bicara Perdana “Koperasi, Menjejak Berkah Menggarap Hikmat” dan Malam Kerohanian: Persembahan Nasyid dan Tarian Kebudayaan.” 



Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Ketua Menteri Sabah. 

Pada tahun ini, negeri Sabah dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran HKN 2023. Tema Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 (BKK 23) adalah “Malaysia Madani Teras Kecemerlangan Koperasi”. 

Menghayati dan melaksanakan enam teras yang terkandung dalam konsep Malaysia Madani, KUSKOP yakin ia dapat mengangkat darjat gerakan koperasi ke tahap yang lebih maju dan makmur. 

Sambutan BKK ini merupakan manifestasi apresiasi dan pengiktirafan Kerajaan kepada gerakan koperasi negara yang telah banyak menyumbang dalam membangunkan sosioekonomi masyarakat Madani di negara ini. 

Pemilihan bulan Julai sebagai acara Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan bukan sahaja menyorot sejarah pendaftaran koperasi pertama di negara ini, malah ia selaras dengan pengisytiharan hari Sabtu Minggu Pertama Bulan Julai Setiap Tahun sebagai Hari Koperasi Antarabangsa (International Day of Co-operatives) oleh Perikatan Koperasi Antarabangsa (International Co-operative Alliance, ICA). 

Pada tahun ini, Hari Koperasi Antarabangsa telah disambut pada 1 Julai 2023. 

Sepanjang penganjuran 3 hari HKN 23, masyarakat setempat telah mendapat limpahan ekonomi daripada kehadiran anggota koperasi seluruh negara seperti industri perhotelan, pelancongan dan pengangkutan. 

Selain daripada itu, gerakan koperasi seluruh negara berjaya meningkatkan rangkaian kerjasama dengan pelbagai pihak menceburi pelbagai aktiviti perniagaan dan meningkatkan pendapatan koperasi. 

Statistik gerakan koperasi sehingga Disember 2022 adalah pengumpulan modal syer dan yuran adalah berjumlah RM17 bilion dan penjanaan aset pula berjumlah RM160 bilion. 

Sementara itu, sumbangan perolehan koperasi mencecah RM45.5 bilion. Ini menjadikan penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi negara selepas sektor kerajaan dan swasta. 

Majlis penutupan Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK 23) dijadualkan pada 30 Julai 2023 ini dan akan disempurnakan oleh Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri. Anggaran jemputan adalah seramai 400 orang. - KitaReporters/Kenyataan Media


14
11
0
14
0
You will be interested