Bisnes & Ekonomi 01 Aug, 2025

RMK13| 1j rumah mampu milik! Lebih 1j pekerjaan bernilai tinggi! TVET Madani distrategi semula! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menyasarkan penyediaan sejuta rumah mampu milik dan penciptaan lebih sejuta pekerjaan bernilai tinggi, dan pengukuhan sistem sosial berteraskan nilai Madani, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Di bawah RMK13 juga, TVET Madani distrategikan semula dengan memperkenal skim pembiayaan dan latihan. - KitaReporters



Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menyasarkan penyediaan sejuta rumah mampu milik dan penciptaan lebih sejuta pekerjaan bernilai tinggi, dan pengukuhan sistem sosial berteraskan nilai Madani, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"RMK13 yang dibentangkan di Dewan Rakyat (pada 31 Julai 2025) menetapkan hala tuju pembangunan negara bagi tempoh 2026–2030 dengan peruntukan RM611 bilion. 

"Ia meneruskan usaha menyusun semula struktur ekonomi dan mengangkat martabat rakyat melalui pertumbuhan yang lebih saksama, berdaya saing dan inklusif.

"Antara kandungan utama ialah pelaburan besar serta reformasi dalam pendidikan dan kesihatan, pembangunan wilayah yang seimbang, penyediaan sejuta rumah mampu milik, perluasan program TVET, pendigitalan perkhidmatan awam serta penciptaan lebih sejuta pekerjaan bernilai tinggi," jelas Anwar.



Beliau berkata, RMK13 juga memberi penekanan kepada reformasi pasaran buruh, pengukuhan sistem sosial berteraskan nilai Madani, serta ikhtiar berterusan untuk mengurangkan kos sara hidup dan memastikan tiada kelompok yang terpinggir dalam arus kemajuan.

"Usaha melakar semula pembangunan ini menuntut iltizam bersama. 

"Kita tidak hanya mahu bergelar negara berpendapatan tinggi, tetapi mahu kemajuan ini benar-benar dirasai seluruh rakyat dari kota ke desa dalam suasana yang adil, sejahtera dan penuh keyakinan terhadap masa depan," jelas Perdana Menteri.



Menurutnya lagi, di bawah RMK13, TVET Madani distrategikan semula untuk memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi, dengan sasaran 1.2 juta peluang pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan dan ekonomi digital. 

Skim pembiayaan dan latihan turut diperkenal bagi menggalakkan penyertaan belia, tambah beliau.

"Pada 2024 sahaja, 212,000 pelajar baharu mendaftar dalam program TVET, termasuk pelajar tahfiz dan huffaz.

"Pensijilan TVET juga akan dipertingkat ke tahap setara pengajian tinggi, sejajar hasrat RMK13 melahirkan tenaga kerja mahir dan berpendapatan tinggi," ujar Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media


17
17
0
12
0
You will be interested