Bisnes & Ekonomi 11 Oct, 2024

Sokong industri fesyen kita! Kunjungi MY Gaya Month! 7 Okt hingga 5 Nov 2024! Belilah produk Malaysia!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this


MY Gaya Month (MGM) 2024 yang menampilkan sehingga 30 pereka fesyen, usahawan gaya hidup dan institusi fesyen tempatan, meletakkan sasaran penjualan produk mereka sebanyak RM1 juta sepanjang program itu diadakan dari 7 Oktober hingga 5 November 2024.

Program anjuran Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA) ini bertujuan mengetengahkan dan mempromosi barangan Malaysia menerusi produk fesyen, gaya hidup dan pelancongan sekali gus mendukung matlamat Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2024.

“MGM lebih sebulan ini akan menyorot kepelbagaian wawasan dan kreativiti pereka fesyen tempatan di Malaysia malah membuka peluang kepada masyarakat dan pelancong luar negara untuk menghayati kecantikan dan keindahan industri fesyen dan gaya hidup tempatan.

“Program ini juga sebagai penanda aras kepada MBDA untuk meninggikan martabat budaya, seni dan fesyen negara  selain melahirkan usahawan baharu industrinya,” kata Pengasas dan Pengerusi MBDA, Bon Zainal Harun pada sidang media di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Kuala Lumpur. baru-baru ini.


MOHD. Sayuthi Bakar (kiri) beramah mesra dengan seorang pemilik reruai pakaian MY Gaya Month 2024. - Kredit foto: MGM 


MY Gaya Month difahamkan berjaya menghasilkan jualan sebanyak RM533,362 pada 2022 malah meningkat mendadak kepada 50.4 peratus atau RM802,254 pada 2023.

Terdahulu MY Gaya Month 2024 yang turut bersempena KBBM 2024, dilancarkan secara rasmi oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Mohd. Sayuthi Bakar pada 8 Oktober 2024.


BON Zainal Harun (kanan) dan Tom Abang Saufi menjelaskan kepada wakil media dalam sidang media selepas majlis pelancaran rasmi MY Gaya Month 2024. - Kredit foto: MGM


Zainal menambah, My Gaya Month 2024 yang memasuki penganjuran tahun keempat juga menyokong dan meraikan matlamat KBBM dalam memperkasa semangat patriotisme rakyat Malaysia terhadap barangan dan perkhidmatan buatan kita.

“Golongan sasaran KBBM dan MGM wajar terus disedarkan bahawa kualiti barangan tempatan turut mampu bersaing dengan produk antarabangsa, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi domestik.

“MBDA turut menggalakkan amalan perniagaan lestari dalam kalangan pemain industri dan menjadi asas perkembangan industri fesyen untuk masa depan yang lebih mampan,” ujarnya.

Barisan pereka, usahawan dan akademi yang akan memperagakan jenama mereka sempena MY Gaya Month 2024 ialah Kashfi Zulkufli, Batek by Rasta Rashid, Bon Zainal, Thalia, Kalima, Fluffy Land, Kolej Vokasional ERT Setapak, UCSI University, ICAD, Universiti Teknologi Mara dan Unitar International University, katanya.


MOHD. Sayuthi (kiri)  diberi penjelasan mengenai kasut di sebuah reruai peserta MY Gaya Month 2024. - Kredit foto: MGM


Kata Penaung MBDA, Datuk Indera Tom Abang Saufi, ciri-ciri negara ini yang kaya seni budaya, fesyen, kreativiti dan kepelbagaian etnik yang mendukung keunikan, telah banyak membantu mempromosikan Malaysia ke mata dunia.

“Kita harus berbangga, contohnya batik Malaysia yang turut boleh dipelbagaikan pada pakaian bahkan pelbagai kegunaan harian masyarakat,” tambah pereka fesyen ternama negara dan berpengalaman luas ini. - KitaReporters 


MOHD. Sayuthi Bakar (dua dari kanan) meneliti rekaan baju di sebuah reruai peserta MY Gaya Month 2024. - Kredit foto: MGM


BON Zainal Harun dan Tom Abang Saufi (tengh) menunjukkan isyarat bagus bersama-sama barisan pereka fesyen yang menyertai MY Gaya Month 2024 di Puncak Damansara, Kuala Lumpur. - Kredit foto MGM


20
16
0
12
0
You will be interested