
Mike Toh (kiri) memberikan duit raya dan sepasang pakaian kepada anak yatim.
Syarikat pengeluar tayar, Toyo Tyre Malaysia Sdn Bhd (Toyo Tyre) di Kamunting, Taiping, Perak melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan pelbagai cara bagi memeriahkan perayaan Aidilfitri pada tahun 2025 ini.
Terbaru, Toyo Tyre menyantuni anak-anak yatim dari Pusat Kebajikan Nur Hidayah, Bukit Gantang dengan menjemput anak-anak yatim berkenaan untuk berbuka puasa di hotel.

Presiden dan Pengarah Urusan Toyo Tyre, Mike Toh berkata, sebelum ini pihaknya memberikan hadiah dan makan di restoran makanan segera kepada anak-anak yatim.
Katanya, pada tahun ini (2025), pihaknya memberikan kelainan dengan membawa anak-anak yatim tersebut untuk menikmati makanan dan berbuka puasa di hotel.
"Kita membelanjakan sebanyak RM12,000 hasil daripada dana yang dikumpul oleh pekerja syarikat hasil penjualan bahan-bahan terbuang seperti besi dan kertas di kilang.
"Anak-anak yatim selain diberikan makan, mereka diberikan sepasang pakaian dan kasut serta wang tunai RM50 setiap seorang," katanya ketika ditemui pada Program Raya Give Away dan Iftar With Orphans Nur Hidayah di Hotel Taiping Perdana pada 25 Mac 2025.

Mike berkata, program CSR itu diadakan sejak lapan tahun lalu membabitkan semua kaum pada setiap menyambut perayaan.
"Ini menjadi tradisi yang dijalankan syarikat bagi membantu anak-anak istimewa ini," katanya.
Menurutnya, pihaknya yakin dengan bantuan ini memberikan kegembiraan kepada anak-anak yatim untuk menyambut perayaan Aidilfitri tidak lama lagi. - KitaReporters
