Bisnes & Ekonomi 25 Aug, 2024

Hari Pemuliharaan Ekosistem Hutan Bakau Sedunia! ECRL sertai program pemulihan, tanam semula bakau!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Lebih 70 sukarelawan daripada Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah menyertai program pemulihan bakau di Taman Mangrove Point, yang terletak di muara Sungai Klang baru-baru ini sempena ‘Hari Pemuliharaan Ekosistem Hutan Bakau Sedunia’.

Hari Pemuliharaan Ekosistem Hutan Bakau Sedunia disambut pada 26 Julai setiap tahun.

Dilengkapi peralatan pembersihan, para sukarelawan meluangkan masa selama tiga jam untuk bergotong-royong dengan mengutip sampah yang terdiri daripada botol air, tin aluminium, sisa plastik dan objek logam. 

Para sukarelawan kemudian mengambil bahagian dalam penanaman semula pokok bakau serta lawatan pendidikan sungai mengenai sistem pemantauan kualiti air di sepanjang Sungai Klang. 

Kira-kira 100 anak pokok Rhizophora Apiculata (bakau minyak) dan Rhizophora Mucronata (bakau kurap) berjaya ditanam oleh sukarelawan Projek ECRL di kawasan tanah negeri Selangor dan Hutan Simpan Kekal yang seluas 70 ekar. 



Program pemulihan bakau ini adalah selaras dengan kuadran alam sekitar Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Malaysia Rail Link (MRL), yang mengiktiraf semua usaha kritikal untuk melindungi alam sekitar dan mengurangkan kemusnahan ekosistem yang disebabkan oleh pelbagai aktiviti manusia. 

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato' Sri Darwis Abdul Razak, berkata inisiatif CSR ini akan mendokong usaha Selangor Maritime Gateway (SMG) dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor untuk meningkatkan ekosistem bakau yang unik dalam persekitaran biofilik yang antara lain akan menjadikan Taman Mangrove Point, Sungai Klang sebagai destinasi baharu untuk ekopelancongan. 

“Program pemulihan bakau mencerminkan tanggungjawab kolektif kami untuk melindungi dan memulihara ekosistem bakau serta meningkatkan pengurusan pertumbuhan anak pokok bakau baharu yang akan menyumbang ke arah persekitaran yang mampan untuk generasi akan datang,” katanya. 

Darwis menyatakan bahawa Projek ECRL akan secara proaktif menyokong inisiatif yang melindungi alam sekitar dan habitat serta warisan semula jadi, 

Pada masa yang sama, beliau pun menekankan bahawa Projek ECRL juga telah mengambil kira perlindungan alam sekitar dalam reka bentuk jajaran relnya dari Kota Bharu ke Port Klang. 



Jajaran ECRL akan merangkumi lima buah stesen di negeri Selangor iaitu Jalan Kastam (Port Klang), Kapar dan Terminal Bersepadu Gombak yang akan berfungsi sebagai stesen penumpang sahaja, manakala Puncak Alam dan Bandar Serendah akan menjadi stesen penumpang & kargo.

MRL, sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MOF (Inc.)), adalah pemilik projek ECRL manakala China Communications Construction Company Ltd (CCCC) adalah kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, dan pentauliahan (EPCC). 

ECRL sepanjang 665 km akan merentasi negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu, dan Pahang sebelum menghubungkan Lembah Klang di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. - KitaReporters/Kenyataan Media


8
10
0
18
0
You will be interested