LJP Kitchen Sdn Bhd melalui jenamanya, Kakatoo F&B Group bersama ALAA Consultancy (M) Sdn Bhd dan DOSZ Coffee memeterai kerjasama strategik tiga pihak bagi memperkukuh keusahawanan dalam sektor makanan dan minuman (F&B).

Usaha sama itu dimuktamadkan selepas ketiga-tiga organisasi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Kakatoo Restoran, Quill City Mall, di Kuala Lumpur pada 5 Disember 2025.
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Pengerusi ALAA, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, dan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO),Kakatoo F&B Group, Joyce Chong; CEO ALAA Consultancy, Husna Nashim; serta Pengarah W Capital Privy Equity Sdn Bhd, Adib Halim Azmi bagi pihak DOSZ Coffee.
Sebagai inisiatif permulaan, ketiga-tiga pihak akan bekerjasama melalui Program Perniagaan Tart Telur Natalah, di mana pembiayaan sebanyak RM15 juta disediakan oleh institusi pembiaya kepada 1,000 usahawan terpilih dalam program ini.
Menerusi kerjasama ini, Kakatoo menyediakan pakej operasi lengkap merangkumi peralatan, rantaian bekalan, pelesenan dan latihan,
ALAA akan mengetuai strategi kewangan, pemilihan usahawan, tadbir urus program dan penyusunan komersial, manakala DOSZ Coffee bertindak sebagai platform runcit bagi pelaksanaan program secara meluas.
Kerjasama ini bertujuan memperkukuh ekosistem keusahawanan F&B di Malaysia melalui model perniagaan yang teratur, berskala dan disokong secara profesional.

Dr Madinah Mohamad (dua dari kiri) bersama pegawai tiga pihak menyaksikan majlis menandatangani MoU. Depan dari kiri: Joyce Chong, Husna Nashim and Adib Halim Azmi menandatangani MoU.
Dalam ucapannya, Joyce menjelaskan bahawa Program Natalah bermula daripada satu pemerhatian mudah — tart telur adalah produk kegemaran ramai dan mudah dibeli.
Beliau berkata Kakatoo mengambil idea ini dan mengubah dan menjadikannya sebagai satu perniagaan mikro berasaskan modal rendah dan pusingan jualan pantas, sesuai untuk pengusaha kantin serta kafe tempatan sebagai perniagaan tambahan. - KitaReporters/Kenyataan Media