Maxis, syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia, terus memberi impak positif melalui Maxis eKelas, program komuniti utamanya yang bertujuan meningkatkan prestasi akademik pelajar-pelajar di komuniti luar bandar.
Inisiatif pembelajaran digital percuma selepas sekolah ini telah terus mencapai pertumbuhan yang kukuh, dengan lebih daripada 120,000 pengguna berdaftar pada platform eKelas dan semakin berkembang.
Sebagai sebahagian daripada program ini, Maxis baru-baru ini menyampaikan geran Anugerah Gemilang eKelas 2024 kepada pelajar-pelajar dari sembilan negeri di seluruh Malaysia untuk mengiktiraf peningkatan akademik mereka.
Dilancarkan pada tahun 2017, program geran Anugerah Gemilang eKelas memberi penghargaan kepada pelajar-pelajar yang menunjukkan kemajuan ketara dalam perjalanan pendidikan mereka.
Selain daripada peningkatan akademik, pelajar dinilai berdasarkan penyertaan dalam aktiviti dan pertandingan eKelas, serta pengiktirafan daripada guru berkenaan dengan pertumbuhan dan perkembangan individu pelajar tersebut.
Di sebuah majlis yang diadakan baru-baru ini untuk penerima geran bagi tahun 2024, geran-geran tersebut telah disampaikan oleh Fadzliaton Zainudin, Timbalan Pengarah, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan, bersama dengan Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis.
Majlis tersebut turut dihadiri wakil-wakil dari Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) dan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) Kementerian Pendidikan.
“Kami berasa bangga kerana dapat mengiktiraf peserta-peserta Maxis eKelas atas pertumbuhan akademik dan peribadi mereka.
"Kerja keras dan dedikasi mereka menjadi inspirasi dalam misi kami untuk memperkasakan para pelajar melalui pembelajaran digital.
"Melalui eKelas, kami berharap akan dapat menyokong lebih ramai pelajar dalam perjalanan pendidikan mereka, agar membolehkan mereka mencapai kecemerlangan pada masa hadapan,” kata Mariam Bevi Batcha, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat, Maxis.
Pelajar sekolah rendah telah menerima geran bernilai RM750 seorang manakala pelajar sekolah menengah telah menerima geran bernilai RM1,500 seorang.
Geran-geran tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) setiap pelajar, bagi menyediakan sokongan kewangan untuk mereka melanjutkan pelajaran pada masa hadapan.
Sebagai tambahan kepada geran-geran tersebut, Maxis baru-baru ini selesai menyumbang 330 komputer riba yang telah diperbaharui kepada 77 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.
Sumbangan ini bertujuan membantu para pelajar di sekolah-sekolah tersebut, terutama pelajar dari komuniti luar bandar, untuk mengakses sumber pembelajaran digital seperti Maxis eKelas.
Terbuka untuk pelajar dari Tahun 4 hingga Tingkatan 5, Maxis eKelas menawarkan akses percuma kepada kandungan pendidikan yang berkualiti sejajar dengan sukatan pelajaran sekolah Malaysia, memfokuskan Sains, Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Sejarah serta pembelajaran berasaskan pengalaman.
Tahun lepas(2023), Maxis eKelas secara rasminya menjadi sebahagian daripada portal pembelajaran digital DELIMa oleh Kementerian Pendidikan, memperluas lagi kebolehcapaiannya untuk semua pelajar dan guru di seluruh negara.
Sementara itu, Cherrylane Rachell Cornalius, pelajar Tingkatan 4 dari SMK Tun Fuad Stephens, Sabah berkata, "Saya percaya bahawa usaha membuahkan hasil; sebagai seorang penerima Anugerah Gemilang eKelas, saya pasti lebih bersemangat untuk terus mempertingkatkan diri."
"Melalui penyertaan dalam pertandingan eKelas, saya telah belajar untuk mengatasi ketakutan untuk bercakap di hadapan orang ramai. Sekarang, saya sedang menjalani program matrikulasi untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi dan menerima geran SSPN tentu akan membantu perjalanan pendidikan saya," kata Chong Pohyi, graduan SMK Tasek Utara, Johor pula. - KitaReporters/Kenyataan Media