Bisnes & Ekonomi 19 Oct, 2023

Berkat usaha gigih, angan jadi kenyataan! 7 kali gagal! Kini Mohd Nazri ada 14 kedai Chicken Royale!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Benar, kejayaan yang diperah hasil kerja keras dan tidak pernah kenal erti putus asa, bukan sekadar retorik yang direka untuk menarik minat orang ramai menyanjungi sesuatu jenama. Ia bukan cerita dongeng yang hanya untuk menyedapkan halwa telinga.

Kalau dulu cerita dongeng seperti Mat Jenin yang suka berangan namun akhirnya memakan diri, patut dijadikan pengajaran. Namun, tak salah nak berangan asalkan ada usaha untuk menjadikan angan-angan itu kenyataan.

Hal ini dibuktikan oleh seorang usahawan berjaya, Mohd Nazri Md Akim, 41, yang berasal dari Kampong Kanchong Darat, Banting dan kini menetap di Balakong, Cheras, Selangor. Kisah dan perjuangan dalam mempertahan bisnesnya, sangat menarik.

Segalanya bermula dari bawah dengan angan-angan. Barulah asasnya menjadi kukuh berbanding membinanya dari atas. Menurut bapa kepada dua orang anak ini, minatnya dalam bisnes sudah terpateri dalam diri sejak muda lagi.  


Kerja keras Mohd Nazri Md Akim membuahkan hasil.


Sekadar angan-angan tidak menjadikan sesuatu perniagaan itu berjaya. Ia perlu disokong dengan kerja keras dan tidak kenal erti putus asa. Biar lelah datang bertimpa, namun pantang sekali berundur. Itulah resipi kejayaan sesebuah perniagaan.

“Cerita saya bermula macam ini. Sejak lepasan universiti lagi saya sentiasa minat untuk buat bisnes. Saya rasa inilah jalan hidup saya. Malahan saya akui sejak kecil lagi perasaan itu wujud.

“Saya buat macam-macam bisnes tapi semua tak jadi. Saya buat trading, jual burger, buka kedai dalam mall dan macam-macam lagi. Saya pernah kerja dengan orang. Kemudian berhenti dan buka bisnes sendiri. Dari tahun 2006 saya ulang perkara yang sama,” ceritanya.

Kemudian pada tahun 2016, segala-galanya bermula. Mohd Nazri menggumpal segala angan-angannya selama ini untuk dijadikan kenyataan. Biarlah orang kata dia seperti Mat Jenin, yang penting dia tekad dan yakin boleh! Bayangkan dia sanggup melepaskan jawatan CEO di sebuah anak syarikat milik kerajaan ketika itu.


Resipi ayam peri peri dicipta sendiri oleh Mohd Nazri.


Kerja ‘gilanya’ itu tidak lain tidak bukan hanya untuk memulakan perniagaan yang diberi nama Chicken Royale. Apa tak gilanya dia bukan seorang cef untuk mencipta resipi dan bersaing dengan jenama-jenama besar lain seperti Nando’s, KFC atau seumpamanya! 

Namun, benarlah ia bukan sekadar angan-angan kosong kerana Mohd Nazri telah membuktikan segalanya hari ini.

“Akhirnya pada tahun 2016 saya mulakan satu bisnes baharu. Nama bisnes saya ialah Chicken Royale. Saya buat ayam peri peri ala Nando’s. Konon nak bersaing. Cita-cita saya nak buat sampai 100 cawangan. Angan-angan besar.

“Kenapa ayam peri peri? Sebab saya rasa menu ni ada potensi besar dan universal. Semua kaum boleh makan dan saya sendiri sangat suka menu ni. Ya betul, saya bukan cef tapi saya cipta sendiri semua menu di kedai saya. Saya belajar sendiri banyak benda.

"Allah ilhamkan ilmu untuk saya. Saya sanggup berhenti dan meletak jawatan CEO di sebuah anak syarikat milik kerajaan ketika itu,” ujarnya.


Setiap ujian yang datang tidak mematahkan semangat Mohd Nazri. Ayam yang jatuh terpaksa dibuang atau menjadi rezeki kucing dan anjing.


Berbekalkan modal sebanyak RM50,000, Mohd Nazri memulakan bisnes tersebut. Pada mulanya dia menggunakan food truck dan berniaga di bawah pokok di tepi longkang. 

Pada mulanya bisnes tersebut kurang mendapat sambutan kerana masih baharu. Namun ia tidak mematahkan semangat. Cabaran demi cabaran dilalui Mohd Nazri. Bak kata pepatah, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Menyedari hakikat itu, Mohd Nazri awal-awal lagi sudah bersedia dengan pertahanan mental.

“Cabaran demi cabaran saya lalui. Bisnes ni memang susah nak naik sehinggakan duit saya habis dan kereta kena tarik. Pernah dalam sehari, saya hanya berjaya jual enam ekor ayam sahaja.

“Tim saya kecil masa ni. Cuma ada isteri, adik ipar dan seorang pekerja. Memang sangat tertekan masa ni. Apatah lagi ditekan oleh pihak bank untuk bayaran komitmen ketika itu. Pernah satu hari, wakil pihak bank yang kelihatan seperti samseng parkir depan rumah dan menghalang pintu pagar. Mereka minta hutang dilunaskan.

Food truck yang digunakan untuk berniaga.


“Susahnya saya ketika itu hingga terpaksa berhentikan anak saya dari tadika selama dua bulan kerana sudah kehabisan duit. Akhirnya pada tahun 2017 saya terpaksa terima tawaran kerja di sebuah syarikat swasta demi kelangsungan hidup dan keluarga. Tapi saya tak nak mengalah dengan Chicken Royale. Saya gunakan duit gaji saya untuk support bisnes Chicken Royale.

“Saya sanggup pakai kereta buruk untuk berulang alik. Siang kerja pejabat malam berniaga sebab nak bagi jadi juga bisnes ni. Berpuluh-puluh kali saya tersadai tepi jalan di tengah malam, panas terik dan hujan. Saya buat segala apa yang boleh dibuat untuk naikkan jenama ini,” katanya.


Bermula dengan food truck, kini Chicken Royale mempunyai 14 restoran.


Mendung tidak selamanya kelam. Berkat kerja keras dan tidak kenal erti putus asa, akhirnya pada tahun 2017, Chicken Royale mula tular dalam media sosial. Malah pernah dinobatkan nombor satu dalam survey top 10 food truck di Selangor dan Kuala Lumpur.

Di situlah bermulanya peralihan daripada menggunakan food truck ke restoran. Dek kerana tidak menang tangan menguruskan restoran, akhirnya Mohd Nazri tekad untuk berhenti kerja sekali lagi.

“Tahun 2020 saya decide pindah dari food truck ke restoran. Saya tak guna duit untung untuk saya tapi saya guna untuk grow bisnes. Pada masa ni saya decide resign kerja dan fokus pada Chicken Royale.

“Tapi saya diduga sekali lagi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan. Saya tidak boleh berniaga di kedai dan terpaksa menunggu PKP habis.

“Cuma kali ni dengan izin Allah, saya lebih bersedia dan terus berkembang. Saya pelbagaikan produk dan mula buat delivery. Saya juga kuatkan bahagian pemasaran. Alhamdulillah saya dapat untung dan saya tahan diri daripada berbelanja. Saya buka cawangan baharu dan laburkan semula duit yang ada,” ceritanya.


Pelbagai resipi ayam dijual di Chicken Royale.


Ceritanya tidak habis setakat itu kerana masih ada cabaran dan ujian yang dilalui Mohd Nazri. Tiada bisnes yang tiada ujian dan risiko. Ada beberapa cawangannya terpaksa ditutup namun nisbah setakat ini lebih banyak dibuka daripada ditutup.

Hari ini, angan-angan yang tercipta akhirnya menjadi kenyataan di mana Chicken Royal sudah mempunyai 14 cawangan. Menurut Mohd Nazri, dia mempunyai perancangan untuk kembangkan bisnes tersebut sehingga menjadi 50 cawangan pada tahun 2028. Benar kata Mohd Nazri, angan-angan tinggi melangit tapi ia bukan cerita mudah. Dugaan sentiasa ada menanti di hadapan.

“Saya ada 80 pekerja setakat ini. Tak mudah, ada masa saya ada lebih rezeki boleh kongsi (bonus) dengan mereka. Ada masa saya terlambat bayar gaji apabila ekonomi kurang baik. Saya sendiri yang lemah tapi alhamdulillah majoriti mereka menyokong dan kekal bersama saya,” akhirinya yang merancang untuk kembangkan bisnes ke Indonesia dan Timur Tengah pada tahun 2027. - KitaReporters


Di sebalik kejayaan seorang suami, ada isteri di belakang yang sentiasa menyokong.

14
13
0
15
0
You will be interested