Bisnes & Ekonomi 20 Apr, 2023

Catatan Akademik| Jalan kawah bulan? Banyak jalan rosak, berlubang! Kematian sebabnya juga meningkat!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this

Kredit foto: Carsome.my


Oleh: MOHD ZAINI OTHMAN 

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)


Cuaca semasa yang panas dan ditambah pula perlu menempuh kesesakan jalan raya gara-gara kerja-kerja penyelenggaraan yang tidak kena pada masanya, makin bertambah bahang ‘panasnya’ buat pengguna jalan raya. 

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengarahkan kerja-kerja penyelenggaraan di semua lebuh raya dihentikan sementara bermula Selasa, 18 April 2023 lalu hingga 7 Mei sebagai langkah segera memastikan kelancaran aliran trafik dan tidak mengganggu perjalanan orang ramai sepanjang perayaan Aidilfitri, sekali gus memastikan keselesaan serta keselamatan pengguna lebuh raya.

Pulang ke kampung meraikan Aidilfitri adalah tradisi dalam masyarakat kita yang sudah sebati dan tidak dapat dipisahkan. 

Saban tahun juga sudah boleh diduga perlu menempuh kesesakan jalan raya kerana pertambahan kenderaan berkali-kali ganda. 

Tidak kira perjalanan yang ditempuh itu jauh mahupun dekat, sebagai pengguna jalan raya apa yang diharapkan sebenarnya ialah jalan raya yang akan dilalui dalam keadaan yang baik dan selesa untuk pemanduan.

Keadaan jalan yang rosak seperti berlubang dan retak akan menimbulkan rasa tidak ketidakselesaan kepada pengguna jalan raya kerana pemanduan akan kerap terganggu kerana perlu mengelak laluan yang berlubang. 

Lebih membahayakan, keadaan jalan berlubang boleh mendatangkan risiko kemalangan serta kerosakan pada kenderaan seperti tayar rosak dan pancit; rim bengkok atau retak; dan kerosakan pada jajaran kereta dan sistem suspensi.

Semua kerosakan ini pula memberi bebanan kewangan untuk kos pembaikan kenderaan dan lebih malang lagi, bukan kenderaan sahaja yang rosak, tetapi ia melibatkan pula isu kecederaan serius atau kematian.


Kredit foto: Dailyexpress.com.my


Berdasarkan pengamatan dan laporan dalam media, perlu diakui jalan raya di negara kita masih banyak yang berlubang dan rosak walaupun pihak Kementerian Kerja Raya meneruskan Kempen Sifar Jalan Berlubang sejak 2016 dan Kempen Kita Jaga Jalan Kita yang dilancarkan pada November 2021.

Masih ada jalan yang menghubungkan kampung dengan pekan mahupun bandar kecil berlubang dan rosak yang sepatutnya perlu segera dibaiki tapi dibiarkan untuk tempoh yang lama untuk dibaiki. 

Di bandar sekalipun tidaklah cantik jalannya seperti dibayangkan, malah ada yang lebih daif dari jalan di kampung. 

Di Sabah dan Sarawak, keadaan jalan raya lebih teruk dan tidak memuaskan dengan kita boleh melihat sendiri keadaannya melalui pelbagai perkongsian dalam laman sosial hingga ada gurauan memandu di sana umpama berada di bulan, banyak lubang dari permukaan yang elok.

Tambahan pula sekiranya pada waktu hujan dan malam ditambah pencahayaan pula kurang baik, jalan yang berlubang ditambah permukaan yang licin ibarat bom jangka yang menjadikan semua pengguna jalan raya adalah kumpulan berisiko tinggi untuk terlibat dengan kemalangan.

Isu jalan berlubang sememangnya merekodkan banyak kes kemalangan berlaku di negara kita. 

Memetik satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua, sebanyak 285 kes kematian dicatat antara 2014 hingga 2018 berpunca dari jalan berlubang.

Dapatan data dari Jabatan Trafik dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menunjukkan punca kematian kerana jalan berlubang pada tahun 2018 sebanyak 0.88% dari keseluruhan kematian nahas jalan raya di seluruh Malaysia. 

Lebih membimbangkan, ia menunjukkan bilangan yang semakin meningkat dari tahun ke tahun dalam tempoh empat tahun iaitu dari tahun 2015 hingga 2018. 


Kredit foto: Malaysiadateline.com


Melalui statistik ini dapat disimpulkan betapa seriusnya kemalangan melibatkan jalan berlubang. 

Ia dapat dielakkan apabila penyelenggaraan dibuat secara cekap, efektif dan optimum oleh pihak berwajib seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). 

Hasilnya ia akan mengurangkan masalah sama berulang dan memberi jaminan keselamatan terhadap kenderaan yang menggunakannya.

Pengumuman terkini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Kerajaan akan menambah peruntukan RM250 juta lagi menjadikan RM1 bilion keseluruhannya pada tahun ini untuk selenggara Jalan Persekutuan adalah satu isyarat yang positif. 

Langkah lain yang boleh dilihat untuk menangani masalah jalan ‘kawah bulan’ ini adalah dengan penguatkuasaan yang lebih ketat, tegas dan menyeluruh melalui saluran undang-undang iaitu Akta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987. 

Kenderaan berat seperti treler dan lori yang melanggar peraturan berhubung had muatan semasa di jalan raya boleh dihukum dengan dua akta tersebut.

Walaupun menampal jalan yang rosak atau berlubang itu juga termasuk dalam erti kata penyelenggaran dan pembaikan, tetapi sampai bila ingin ditampal sahaja setiap kali rosak sehingga jalan raya kelihatan umpama papan dam haji kerana berpetak di sana dan sini. 

Gesaan penulis, jalan raya adalah nadi perhubungan kepada rakyat, justeru tidak kira di mana jalan raya tersebut dibina, sama ada di ceruk hulu atau bandar besar, pastikan ia boleh dilalui dengan selamat dan lancar. 

Kerajaan perlu menimbang pemberian peruntukan yang lebih besar dalam belanjawan negara tahun-tahun ke depan untuk menaik taraf semula jalan raya sudah terlalu uzur.


MOHD ZAINI OTHMAN ialah Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan merupakan Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS). Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis.


Kredit foto: Utusan.com.my

8
16
0
9
0
You will be interested