Bisnes & Ekonomi 24 Mar, 2025

Tingkatkan kemudahan Kampung dan Sekolah Angkat Madani! Korporat dan GLC kena lebih aktif! - CIFER

@samsudin oli mohamed
Samsudin Oli Mohamed ialah seorang pengamal media berpengalaman dengan 40 tahun dalam bidang penulisan berita. Beliau pernah bertugas di Balai Berita Berita Harian Kuala Lumpur dan juga sebagai wartawan bebas. Samsudin memiliki Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian dari Universiti Utara Malaysia (UUM). Kini, beliau dilantik sebagai Pengarang Kitareporters.com, seperti yang diumumkan oleh Ketua Pengarang Gamal Nasir.

Share this

Sektor korporat dan GLC perlu memainkan peranan dalam memperkasa masyarakat luar bandar melalui pelbagai inisiatif pendidikan dan pembangunan sosial.


Sektor korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar khususnya di kawasan pedaaman melalui pelbagai inisiatif pendidikan dan pembangunan sosial. 

Peranan ini selari dengan aspirasi Malaysia Madani, seperti Inisiatif Kampung dan Sekolah Angkat yang menekankan kesejahteraan sosial, pembangunan inklusif, dan keadilan ekonomi bagi semua lapisan masyarakat.

Menurut Pengurus Pusat Pengajian dan Penyelidikan Kewangan Islam (CIFER), Dr. Noriza Abd Aziz, syarikat-syarikat ini perlu lebih proaktif dalam menyalurkan bantuan kepada masyarakat luar bandar melalui institusi pendidikan, masjid, pejabat daerah, serta pusat komuniti.

"Malaysia Madani menekankan keadilan sosial dan kesejahteraan bersama. Oleh itu, sektor korporat dan GLC boleh membantu dengan mengenal pasti pelajar luar bandar yang berpotensi serta menawarkan bimbingan dan biasiswa kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran, sama ada di dalam atau luar negara," katanya.


Dr Noriza Abd Aziz

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesa syarikat korporat dan GLC agar jumlah kampung dan sekolah di bawah program Kampung dan Sekolah Angkat Madani diperbanyak lagi.

"Saya menyeru pimpinan korporat dan GLC untuk turut berganding bahu dalam inisiatif yang dianjurkan oleh Kerajaan ini, terutama menambah jumlah kampung melalui program Kampung Angkat Madani dan sekolah angkat di kawasan pedalaman. 

"Pastinya inisiatif ini serba sedikit dapat menyediakan prasarana desa yang kondusif, serta ekosistem pendidikan yang lebih selesa," tegas beliau.

Menurut Dr. Noriza, inisiatif sebegini bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar untuk membina masa depan lebih cerah, malah dapat membantu keluarga mereka keluar daripada kitaran kemiskinan.

Beliau turut menekankan bahawa ramai rakyat Malaysia yang berjaya hari ini termasuk yang memimpin syarikat korporat dan GLC berasal dari desa dan luar bandar. 

Oleh itu, golongan ini seharusnya mengambil peluang untuk 'membayar balik' dengan menyumbang kepada pembangunan pendidikan dan ekonomi di kampung halaman mereka, selaras dengan prinsip Ihsan dan Kasih Sayang dalam Malaysia Madani.

Selain biasiswa, beliau mencadangkan agar syarikat korporat dan GLC melaksanakan program pembangunan pendidikan dan aktiviti kemasyarakatan bagi meningkatkan minat belia luar bandar terhadap ilmu dan kemahiran.

"Kursus kemahiran, latihan keusahawanan serta program mentor-mentee antara inisiatif yang boleh diperkenal untuk membimbing pelajar luar bandar ke arah masa depan lebih berdaya saing," jelasnya.


Pertemuan Perdana Menteri dengan ketua-ketua syarikat korporat dan GLC baru-baru ini. - Kredit foto FB Anwar Ibrahim


Dr. Noriza turut menegaskan bahawa gabungan usaha pihak korporat, kerajaan, dan masyarakat amat penting bagi memastikan pembangunan luar bandar khususnya di kawasan pedalaman yang lebih holistik dan mampan.

"Malaysia Madani menekankan kerjasama pelbagai pihak dalam membangunkan negara. Usaha sektor korporat dalam memperkasakan masyarakat luar bandar bukan sahaja memberi manfaat kepada individu tetapi juga menyumbang kepada pembangunan negara dengan membentuk tenaga kerja berkualiti dan berkemahiran tinggi," tambahnya.

Beliau berharap agar lebih banyak syarikat korporat dan GLC tampil ke hadapan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial mereka secara lebih strategik dan berkesan, demi kesejahteraan masyarakat luar bandar serta memperkukuhkan nilai-nilai Malaysia Madani. - KitaReporters


Gambar hiasan... Aktiviti komuniti melibatkan universiti, syarikat korporat dan komuniti setempat. - Kredit foto: FB Inasis Malten UUM.

7
9
0
17
0
You will be interested