Bisnes & Ekonomi 10 May, 2025

Prinsip-prinsip asas dimuktamadkan! Mudahkan rundingan antara Petronas dan Petros! - PM dan Premier

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak bersetuju untuk memuktamadkan prinsip-prinsip asas dalam masa terdekat seperti yang dipersetujui sebelum ini untuk mempermudahkan rundingan antara Petronas dan Petros.

"Langkah ini penting bagi memastikan potensi besar yang telah dikenal pasti daripada kerjasama Petronas dan Petros dapat diteroka secara menyeluruh dan dilaksanakan dengan berkesan. 

"Ini termasuklah menyegerakan pembekalan tenaga secara komersial ke negara-negara ASEAN. "

"Perdana Menteri dan Premier Sarawak juga mencapai kesepakatan untuk menyelesaikan semua isu berbangkit sebelum ini melalui rundingan," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada 9 Mei 2025.

Terdahulu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mempengerusikan pertemuan dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, bersama kepimpinan tertinggi Petronas dan Petros di Perdana Putra, Putrajaya pada 9 Mei 2025. 

Pertemuan ini berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni berteraskan semangat Persekutuan. 



Terdahulu, dalam posting pada 4 Mei 2025, Perdana Menteri memberitahu, beliau telah berkesempatan bercakap dengan Abang Johari Openg pada 3 Mei 2025 mengenai urusan Petronas-Petros berdasarkan prinsip yang telah disepakati sebelum ini. 

"Sekembalinya Premier daripada lawatan rasmi ke London, United Kingdom kelak, kami akan segera mengadakan perbincangan lanjut untuk memuktamadkannya.

"Sementara itu, atas dasar kepentingan bersama, semua pihak harus menangguhkan sebarang tindakan atau mengeluarkan sebarang kenyataan. 

"Saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa isu ini dapat dirungkai dengan berhemah dengan berdiri teguh di jalur wacana yang sihat dan bermakna, Insya-Allah," jelas Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media

14
14
0
16
0
You will be interested