Berita baik buat penduduk Pulau Pinang dan sekitarnya. Projek Transit Aliran Ringan (LRT) negeri itu akan meliputi kawasan Seberang Prai agar pembangunan projek tersebut lebih menyeluruh dan terangkum.

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ada suara yang menentang keras usaha projek berkenaan atas alasan terlalu besar dan membebankan.
"Saya jelaskan kos meningkat kerana asalnya projek itu hanya tertumpu di kawasan pulau.
"Jadi saya telah mengusulkan agar ia disambung terus ke Seberang Perai temasuk ke Penang Sentral agar pembangunan itu menjadi terangkum dan memanfaatkan lebih ramai rakyat Pulau Pinang," jelas beliau.
Terdahulu, Anwar hadir merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua, Lebuh Raya Utara Selatan (Lebuh Raya PLUS) di Seberang Perai pada Sabtu, 8 November 2025.

Menurutnya, projek penyuraian trafik berdekatan Jambatan Pulau Pinang itu menjadi tanda komitmen nyata Kerajaan dalam menyenangkan hidup rakyat.
"Saya tegaskan bahawa projek raksasa ini tercetus dari suara hati rakyat, khususnya warga Pulau Pinang dan bahagian utara Malaysia yang sekian lama dihadapkan dengan permasalahan yang cukup memprihatinkan ini.
"Lantaran itu, kini masa untuk bertindak agar beban ke atas rakyat ini dapat diredakan," tegasnya.
Projek ini, kata Perdana Menteri, digerakkan melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri, PLUS dan agensi-agensi teknikal yang lain.
"Kos juga dikongsi bersama agar bebannya tidak jatuh ke pundak rakyat," tambahnya.

Beliau berkata, inilah yang kita maksudkan dengan semangat yang Madani, yakni mengolah kuasa agar pembangunan yang dicitakan terlaksana tidak hanya atas catatan angka semata, tetapi hasilnya yang mesti menyentuh aspek kehidupan dan kesejahteraan rakyat.
"Insya-Allah, Pulau Pinang akan terus memacu ekonomi negara dengan teladan prasarana yang moden, lestari dan inklusif," jelas Perdana Menteri. - KitaReporters/Kenyataan Media
