Bisnes & Ekonomi 27 Nov, 2025

Rumah satukan kasih sayang, doa, harapan! Rumah Ronald McDonald simbol ketenangan dan kekuatan!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Setiap keluarga yang melangkah ke Rumah Ronald McDonald (RMH) di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) membawa kisah tersendiri. 

Ada yang datang dengan harapan, ada yang datang dengan kebimbangan. Namun di bawah satu bumbung ini, mereka menemui kekuatan untuk terus tabah. 




Kasih sayang, doa, dan semangat bersatu, menjadikan RMH HPUSM simbol ketenangan buat keluarga pesakit kanak-kanak yang berjuang untuk sembuh.

RMH merupakan salah satu daripada empat program teras di bawah Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia), yang komited untuk membantu meningkatkan kesejahteraan, kesihatan dan pendidikan kanak-kanak di seluruh negara. 

Sebagai salah satu daripada empat RMH di Malaysia, RMH HPUSM berperanan penting menyediakan penginapan sementara kepada keluarga pesakit pediatrik, khususnya dari negeri Kelantan, Terengganu, dan Pahang yang menempuh perjalanan jauh untuk menemani anak mereka bagi mendapatkan rawatan. 

RMH HPUSM ini menjadi tempat untuk hampir 1,000 keluarga setiap tahun mendapat sumber kekuatan dan sokongan emosi daripada keluarga lain yang turut menginap di RMH bagi menemani anak mereka mendapatkan rawatan di hospital ini.  

Rumah ini telah memberi manfaat kepada lebih 5,000 keluarga sejak pembukaannya pada 23 Jun 2019.



RMH HPUSM bukan sekadar tempat penginapan. Ia adalah ruang untuk keluarga merasa lega keluar daripada suasana hospital, berkongsi pengalaman bersama keluarga yang lain sambil menumpukan sepenuh perhatian kepada proses penyembuhan anak-anak mereka. 

Dengan kemudahan 18 bilik tidur untuk sekeluarga, dapur dan ruang makan yang luas, bilik dobi, surau, serta taman permainan, rumah ini membolehkan ibu bapa menjaga anak dengan lebih tenang tanpa dibebani kos penginapan atau perjalanan jauh.

Mohd Nasri Mohd Nordin, Pengurus Besar RMHC Malaysia yang mengetuai lawatan media ke RMH HPUSM ini berkata, “Rumah ini adalah lebih daripada sebuah rumah penginapan. 

"Ia adalah tempat di mana keluarga boleh menarik nafas lega, bersatu dalam doa dan kasih sayang, sambil memberi semangat kepada anak-anak mereka untuk terus kuat menjalani rawatan. 

"Kewujudan rumah ini sangat penting, khususnya untuk keluarga dari wilayah Pantai Timur yang perlu menempuh perjalanan yang jauh demi anak tersayang.”

Manakala Timbalan Pengarah Klinikal HPUSM, Prof. Dr Zaidi Zakaria turut menerima baik inisiatif yang dilaksanakan oleh RMHC Malaysia ini. 

“Kehadiran keluarga di sisi anak yang sedang dirawat memberi kesan besar kepada pemulihan mereka. 

"Rumah Ronald McDonald bukan sahaja memudahkan logistik penginapan, tetapi juga menyokong kesejahteraan emosi keluarga dan anak, yang secara langsung menyumbang kepada proses penyembuhan yang lebih holistik.”




Di sebalik setiap perjuangan anak yang menerima rawatan, tersimpan cerita ketabahan dan pengorbanan keluarga. 

RMH HPUSM menjadi tempat mereka mengumpul semula tenaga, bernafas seketika, dan terus berjuang bersama. 

Ia memastikan mereka tidak keseorangan dalam perjalanan yang penuh dugaan ini.

Wan Siti Rodiah Wan Azmi yang ditemui ketika menetap di RMH HPUSM turut berkongsi, “Tanpa Rumah Ronald McDonald, saya tidak tahu bagaimana kami dapat menghadapi rawatan anak kami yang panjang. 

"Kami mungkin terpaksa tidur di dalam kereta atau ruang menunggu hospital. Rumah ini telah memberi kami tempat selesa untuk berehat dan kekal dekat dengan anak sepanjang tempoh rawatan. 

"Ia bukan sekadar tempat tinggal, tetapi sumber kekuatan dan harapan. Jadi kami mengharapkan agar lebih ramai yang dapat menyumbang kepada RMHC Malaysia agar inisiatif yang dilaksanakan ini dapat diteruskan sampai bila-bila.”


Dari kiri: Prof Dr Zaidi Zakaria, Wan Siti Rodiah Wan Azmi serta Rosmawati Muhammad Salleh bersama anaknya, Muhammad Fayat Iman, penghuni Rumah Ronald McDonald di HPUSM; dan Nasri Nordin.


Selain RMH HUSM, terdapat tiga lagi Rumah Ronald McDonald di Malaysia iaitu di:

  • Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM UKM), Cheras
  • Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur
  • Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah - KitaReporters/Kenyataan Media

10
16
0
15
0
You will be interested