Bisnes & Ekonomi 20 Jan, 2026

Memajukan industri perikanan! Projek akuakultur dijadikan tumpuan! Jeti pendaratan LKIM diaktifkan!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

Bagi nelayan di pesisir Kuala Kurau, Perak, laut bukan sekadar hamparan air biru, tetapi sumber rezeki yang menentukan kelangsungan hidup seisi keluarga.


Projek akuakultur di perairan Kuala Kurau.

Justeru, tumpuan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak bersama Kerajaan Negeri Perak terhadap pembangunan projek akuakultur ialah bagi meningkatkan sumber perikanan nelayan dan negara.

Melalui kerjasama dengan persatuan nelayan dan pengusaha sangkar ikan di kawasan yang dikenal pasti, projek akuakultur ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan pengeluaran ikan, malah memberi jaminan pendapatan yang lebih stabil kepada nelayan, khususnya ketika musim cuaca tidak menentu.


Hasil laut di perairan Kuala Kurau menambahkan industri perikanan negara.

Pengarah LKIM Perak Ahmad Zulkifli Ismail berkata, LKIM Perak bersama Kerajaan Negeri Perak terus memfokuskan pembangunan projek akuakultur bagi menjamin masa depan industri perikanan tempatan.

Beliau berkata, melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri, LKIM serta persatuan nelayan, komuniti perikanan setempat kini melihat peluang untuk meningkatkan pendapatan tanpa terlalu bergantung kepada hasil tangkapan laut semata-mata.

“Penggunaan kaedah ternakan yang baharu menjadi pilihan kepada nelayan yang mempunyai kemampuan selain mengekalkan kaedah tradisional,” katanya ketika membuat tinjauan di beberapa lokasi ternakan akuakultur di perairan Kuala Kurau pada 14 Januari 2026.


Ahmad Zulkifli (dua dari kanan) berbincang dengan dua pengusaha ikan untuk menjadikan Kompleks Perikanan LKIM sebagai kawasan pendaratan ikan baharu di Kuala Kurau.

Justeru itu, Ahmad Zulkifli berkata, keselamatan perairan negeri ini menjadi keutamaan kepada industri perikanan negara.

Menurut beliau, pencerobohan kawasan dan aktiviti penangkapan ikan secara haram sering kali menjejaskan hasil nelayan.

“Kerjasama antara LKIM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perikanan (DOF) diperlukan bagi memastikan perairan negara terus terpelihara.

“Kalau perairan selamat dan dikawal, industri perikanan negara tidak terjejas daripada pencerobohan,” katanya.

Ahmad Zulkifli berkata, setakat ini, ancaman terhadap industri perikanan dari segi cuaca dilihat tidak begitu membimbangkan, namun isu pencerobohan perairan masih memerlukan tindakan bersepadu.


Sebuah syarikat pengedaran ikan di Kuala Kurau menjadi pemangkin kepada ekonomi nelayan.

Sementara itu, Ahmad Zulkifli juga berkata, Kompleks LKIM di Kuala Kurau akan dijadikan pusat pendaratan ikan yang lebih sistematik dalam tempoh terdekat sebaik sahaja perjanjian bersama pemain industri perikanan dicapai.

Katanya, kompleks berkenaan dijangka memudahkan urusan pendaratan hasil laut, selain membuka peluang pasaran yang lebih luas termasuk ke peringkat eksport dengan penglibatan pengusaha tempatan dan pemain industri dari daerah Kerian.

“Apabila keseluruhan rantaian industri -- daripada akuakultur, pendaratan ikan sehingga ke eksport -- dapat dilaksanakan di satu lokasi, ia bukan sahaja meningkatkan kecekapan industri, malah memberi nilai tambah kepada hasil titik peluh nelayan,” katanya yang turut meninjau kompleks LKIM di pekan Kuala Kurau. - KitaReporters

10
7
0
7
0
You will be interested