Bisnes & Ekonomi 03 Aug, 2023

Demi jalinan kasih! 37 Sahabat AIM Pasir Mas kunjungi AIM Batu Pahat! Tukar idea strategi berniaga!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Ahli Kelab APSA Cawangan AIM Pasir Mas mendengar taklimat mengenai operasi kilang Eng's Popcorn 

di Tongkang Pecah.


SERAMAI 37 sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Cawangan Pasir Mas, Kelantan mengadakan program Lawatan Jalinan Kasih ke Cawangan AIM Batu Pahat, Johor sebagai usaha memupuk budaya bekerjasama dan berkongsi pengalaman dalam membantu sahabat di tempat masing-masing.

Program itu turut diiringi enam kakitangan AIM cawangan berkenaan bagi memastikan kelancaran pelbagai aktiviti disusun sepanjang lawatan yang membabitkan ke beberapa lokasi selama dua hari bermula 26 Julai 2023 lalu.


Mohd Zaki Mamat (tengah) menerima penghargaan daripada Kelab APSA Cawangan AIM Pasir Mas di kilang kuih bangkit 'Mybankit hq' di Benut.


Pengurus program yang juga Penolong Pengurus cawangan AIM itu, Fazlinda Jusoh, berkata lawatan itu turut dikelolakan Kelab Angkatan Perpaduan Sahabat Amanah (APSA) Cawangan AIM Pasir Mas adalah sebagai menghargai jemputan Kelab AIM Cawangan Batu Pahat yang ke Pasir Mas pada Oktober 2022. 

Menurutnya, program lawatan itu bukan setakat kunjungan balas tetapi untuk membina landasan terbaik dalam jaringan perniagaan antara dua cawangan AIM khusus untuk membuka peluang kepada sahabat AIM melebarkan usaha niaga mereka. 

Jelasnya, kerana demikian itu beliau sudah merangka aktiviti program yang tersusun dengan mengadakan lawatan antaranya ke projek sahabat AIM cawangan berkenaan dalam membuat kuih bangkit di Benut dan Eng's Popcorn di Tongkang Pecah.

“Lawatan ke tapak projek sahabat AIM ini memang memberi kesan mendalam kepada sahabat AIM dengan berkongsi cara pembuatan, pemasaran serta modal  yang diperoleh bagi dimanfaatkan sebaik mungkin,” ujar beliau.


Mohd Zaki (kiri) bersama ahli Kelab AIM Cawangan Batu Pahat menyerahkan cenderahati kepada wakil Kelab AIM Cawangan Pasir Mas di Arena Warna Ayer Hitam.


Ketibaan rombongan sahabat dan kakitangan Cawangan AIM Pasir Mas itu termasuk Pengurus Cawangannya, Zakiah Mustafa dan Pengerusi Kelab APSA Cawangan Pasir Mas, Mariani Mat Nor disambut oleh Pengurus Wilayah AIM, Mohd Fadzli Haizal Din; Pengurus Cawangan AIM Batu Pahat, Mohd Zaki Mamat; dan kakitangan cawangan berkenaan.

Mariani mewakili Kelab APSA, berkata pertemuan dengan kakitangan serta sahabat AIM cawangan daerah berkenaan digunakan untuk berbincang beberapa strategik yang mungkin boleh dilaksanakan bagi memperluas pasaran projek kuih bangkit ‘Mybankit hq’ dan Eng's Popcorn ke Pasir Mas.


Mohd Zaki menyerahkan cenderahati kepada Zakiah.


Menurutnya, daripada strategik itu juga, sahabat AIM di Pasir Mas boleh memasarkan produk mereka melalui sahabat AIM di Batu Pahat dengan lebih teratur terutama bagi memastikan bekalan bahan makanan khususnya tidak terputus.

“Perkara ini perlu diberi perhatian dan hubungan perniagaan dapat terjalin dengan baik selain mampu memenuhi permintaan orang ramai di Batu Pahat untuk menikmati makanan dari Kelantan begitulah sebaliknya penduduk di Kelantan untuk membeli produk makanan dari Johor,” katanya.

Program lawatan itu berakhir di Arena Warna Ayer Hitam pada sesi bertukar cenderahati antara dua cawangan AIM terbabit serta mengunjungi gerai sahabat AIM sekitar lokasi berkenaan yang banyak memasarkan pelbagai kuih-muih tradisional, kerepek dan barangan kraf tangan. - KitaReporters


Ahli Kelab APSA dan kakitangan Cawangan AIM Pasir Mas merakamkan kenangan sebelum pulang selepas mengadakan Lawatan Jalinan Kasih ke Cawangan AIM Batu Pahat.

29
17
0
13
0
You will be interested