Bisnes & Ekonomi 19 Nov, 2025

Video| Siapa lindung you? Perkeso iLINDUNGu @ Pulau Pinang! Diskaun FCLB sehingga 80% untuk majikan!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Pulau Pinang adalah lokasi kedua bagi para majikan di Malaysia untuk mendapatkan inisiatif diskaun Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) di mana diskaun sehingga 80 peratus terus ditawarkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). 



Agensi pelindung keselamatan sosial itu meneruskan tawaran FCLB,  khusus kepada majikan yang hadir secara fizikal ke Festival Mega iLINDUNGu @ Pulau Pinang yang bakal berlangsung bermula 21 hingga 23 November 2025 ini di tapak Evoke, Bukit Mertajam. 

Ini momentum positif selepas sambutan yang amat menggalakkan oleh majikan pada penganjuran Festival Mega iLINDUNGu pertama di Shah Alam Oktober 2025.

Menurut Ketua Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Perkeso, Roshaimi Mat Rosely, inisiatif ini bukan sahaja membantu majikan melunaskan tanggungjawab kepada pekerja, malah menggalakkan budaya pematuhan caruman keselamatan sosial serta meningkatkan keprihatinan terhadap kebajikan pekerja.

“Para majikan yang berhadapan dengan masalah FCLB ini boleh datang sendiri ke lokasi program. 

"Peluang untuk mendapatkan tawaran istimewa sehingga 80 peratus ini tidak selalu kami adakan. Justeru ia perlu disambut dengan baik oleh semua majikan. 

"Dalam program ini, Perkeso mahu membantu mereka untuk bersama-sama menyelesaikan masalah yang dihadapi para majikan ini,” katanya. 



Melalui penganjuran Festival Mega iLINDUNGu @ Pulau Pinang, Perkeso menzahirkan komitmen padu untuk menyantuni segenap lapisan masyarakat termasuk golongan pencari kerja menerusi penganjuran Karnival LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs.

Karnival ini menghimpunkan 20 majikan terkemuka dengan tawaran lebih 2,000 kekosongan jawatan merangkumi pelbagai bidang dan peringkat daripada graduan baharu sehingga ke jawatan pengurusan kanan dengan gaji yang kompetitif. 

Pada masa sama, Pusat Rehabilitasi Perkeso turut membuka sesi temu duga bagi 30 jawatan kosong di Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan Perkeso serta jualan produk kesihatan A-Care. 

Perkeso juga mengalu-alukan pengunjung untuk hadir ke kaunter khas Perkeso yang memberi pelbagai perkhidmatan seperti semakan caruman, pendaftaran skim perlindungan sosial LINDUNG Kendiri dan LINDUNG Kasih, serta khidmat nasihat untuk sebarang pertanyaan berkaitan Perkeso.

Dalam program tiga hari ini pelbagai pengisian menarik disusun bagi menarik menanti pengunjung termasuk ceramah agama oleh Ustaz Iqbal Zain Al Jauhari, saringan kesihatan percuma, pertandingan e-Sport “LINDUNG Kendiri”, Bual Bicara “LINDUNG Pekerja”, dekorasi kek tiramisu “LINDUNG Kasih”, serta persembahan silap mata oleh Mawie Magic.

Acara lain yang akan memeriahkan lagi ini termasuklah aktiviti kecergasan seperti senamrobik, Drum Circle, Zumba, Pound bersama personaliti kecergasan terkenal, Hanis, di samping aktiviti mewarna kanak-kanak, perkhidmatan melukis oleh kartunis tempatan, serta persembahan kebudayaan Boria dan Chingay yang menjadi simbol seni warisan Pulau Pinang. 



“Selain mempromosikan produk keselamatan sosial dan lain-lain, festival ini juga bakal diserikan dengan kehadiran selebriti serta pempengaruh popular Bell Ngasri, Duo Elite (Abby Abadi dan Azza), Baby Nassuhada, Mek Yun, Daniel Fong, Rara & Oda, serta Satthiya Kandi dan suami, yang akan berinteraksi bersama pengunjung melalui pelbagai segmen santai serta aktiviti komuniti.

“Program yang berlangsung bermula 10.00 pagi hingga 10.00 malam turut diserikan dengan Konsert iLINDUNGu disebelah malamnya yang menampilkan barisan artis terkenal tanah air termasuk Hyper Act, XPDC, Elite, Ruffedge, UNIC serta Apex Tajuddin,” tambah Roshaimi lagi.

Lebih 60 gerai jualan turut tersedia yang menawarkan pelbagai pilihan makanan, minuman dan produk komuniti popular seperti Suka Dessert, Kunafa Aiwahh, Aqilicious, Walla Walla, The Family Fries, Nasi Kerabu Moknab dan banyak lagi menanti pengunjung.

Pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah bernilai lebih RM20,000, termasuk empat motosikal, enam basikal, barangan elektrik, dan perkakas dapur eksklusif.

Dalam festival ini juga turut diselitkan satu program istimewa bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong bagi memberi kefahaman lebih mendalam kepada masyarakat berkaitan keselamatan sosial dan peranan Perkeso dalam memberi perlindungan kepada rakyat Malaysia. - KitaReporters/Kenyataan Media


9
8
0
13
0
You will be interested