Bisnes & Ekonomi 14 Oct, 2023

Sedang seronok bercuti MYArline gantung operasi! Pelanggan dedah percutian diimpikan jadi haru!

@rashidah ibrahim
Bermula di Berita Harian sebagai wartawan di meja berita am 1985, diikuti Berita Minggu, meja mahkamah dan pendidikan sebelum ke majalah Anjung Seri (1993-2015). Jawatan terakhir Timbalan Editor. Meneraju variaseri.com youtube Anjung Destinasi TV.

Share this

Pesawat MYAirline gah dengan tema merah.


Tidak semena-mena menjadi mangsa keadaan apabila MYArline Sdn Bhd (MYAirline) dengan tiba-tiba menggantung operasi penerbangan. Pelanggan yang telah membeli tiket pergi balik untuk bercuti ke destinasi pilihan terpinga, apa jadi dengan tiket penerbangan kami?

Ada yang sedang menunggu tarikh untuk bercuti dan ada yang tengah bercuti.

"Haru betul bila terkena begini. Kami tengah seronok bercuti di Langkawi bersama keluarga apabila mendapat tahu berita itu," kata SS, salah seorang `mangsa`. 

"Beli tiket dah lama. Suatu hari pada February lalu, ternampak iklan MyAirline, promosi tiket RM39 ke Langkawi.  Terasa murahnya lalu terus beli tiket untuk trip satu famili, ahli keluarga besar 12 orang," cerita SS yang masih berada di Langkawi bersama keluarga bercuti sewaktu artikel ini ditulis.


"Operation temporarily suspended." Notis gantung sementara operasi MYAirline berkuatkuasa 12 Oktober 2023 di kaunter pendaftaran lapangan terbang Langkawi.


Data pembelian tiket seperti berikut.

Tarikh percutian ke Langkawi 13/10, 

Family (12pax)

RM39/pax/1 way (hala)
Rm78/pax/2 way (hala)
Depart (Bertolak): 10/10 jam 10 pagi

Return (Pulang): 13/10. 


Pada 10 Oktober 2023 mereka satu famili bertolak ke KLIA2, sesampai saja terus ke kaunter pendaftaran MYAirline untuk check in. Kaunter terletak jauh di hujung airport . Selepas check in terus ke pintu terminal untuk berangkat ke Langkawi dengan MYAirline. 

"Semasa tu dalam pesawat nampak biasa saja. Kakitangan pramugara dan pramugari semua nampak okey dan layanan pun okey.

"Sesampai di Langkawi terus singgah makan dan check in di hotel di kawasan Pantai Cenang. Hari kedua (11 Oktober), daftar masuk ke hotel lain di Jalan Pantai Tengah. Hari ketiga (12 Oktober), kira-kira jam 9 pagi kami menyertai trip island hopping ke Tasik Dayang Bunting. 



"Semasa dalam perjalanan menaiki bot, ternampak ada kawan berkongsi pengumuman dalam media sosial dan juga berita penggantungan MYAirline. 

"Mula-mula kami yakin ada lagi baki penerbangan akhir untuk pulang. Husnuzon. Tapi apabila selesai kegiatan island hopping dan sampai semula ke pulau utama di Langkawi, harapan tinggi jadi was-was.  

"Jadi, kami bergegas ke lapangan terbang untuk dapatkan kepastian sebab risau juga kalau tiket tak boleh guna, nak balik macam mana nanti? 

"Sesampai saja di Langkawi International Airport, nampak kaunter MYAirline dah sunyi dan terpapar notis `Suspended` dekat kaunter check in," katanya.


Tutup... "Kaunter MYAirline di Airport Langkawi sepi tak beroperasi sewaktu kami pergi untuk membuat pengesahan berita." - SS


"Sahlah tiket hala pulang kami dah tak boleh guna, terpaksalah cari pilihan lain. Bincang dengan famili sama ada nak balik naik pesawat, kereta api atau bas. Untuk tidak menyusahkan naik feri sebab ada kanak-kanak, akhirnya kami putuskan untuk pulang naik (pesawat) AirAsia. 

"Rezeki dapat harga potongan 50 peratus untuk setiap seorang, jadi RM140 kos satu hala untuk balik ke KLIA2 untuk seorang," cerita SS lagi. 

Peka dengan masalah yang dihadapi mereka terbabit, pada hari yang sama ada kenyataan daripada syarikat AirAsia mengenai kesediaannya membantu mereka yang `termangsa` dalam kes penggantungan operasi MYAirline, dengan memberikan potongan harga tiket 50 peratus.

"Legalah juga. Kalau diambil kira dari segi pembelian pada `saat akhir`, kira okey jugalah harga tu. Dalam keadaan emergency lah katakan," ujarnya. 


Kenyataan daripada pihak AirAsia.


AirAsia mengeluarkan kenyataan sokongan dan simpatinya terhadap semua penumpang MYAirline dan kakitangan yang terkesan. Syarikat penerbangan itu menawarkan tawaran potongan harga 50 peratus tiket penerbangan AirAsia untuk pelanggan MYAirline yang membuat tempahan penerbangan travel sehingga 30 November 2023.

SS sekeluarga berterima kasih kepada AirAsia kerana telah mempermudah urusan penerbangan pulang mereka sekeluarga dari Langkawi ke Kuala Lumpur.

"Dengan apa yang telah berlaku, bagi percutian 4 hari tiga malam di Langkawi itu kami dah terlari bajet, gara-gara MYAirline mengumumkan penggantungan operasi sehingga diberitahu kelak," luahnya.



Dalam satu kenyataan, Ahli Lembaga Pengarah syarikat berkenaan memaklumkan keputusan itu dibuat kerana tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.

"Tekanan kewangan menjadi punca keputusan sukar itu terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu," jelas kenyataan itu.

Menurut laporan, 125,000 penumpang terjejas apabila syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline mengantung operasi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata langkah sangat tidak bertanggungjawab oleh syarikat itu yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM20 juta ditanggung olehg penumpang, berdasarkan jualan tiket penerbangan syarikat terbabit. Nilai itu membabitkan hasil jualan tiket penumpang yang membuat tempahan penerbangan MYAirline sehingga Mac 2024 depan.

"MYAirline memberi jaminan untuk menunaikan kewajipan mereka kepada pengguna terjejas dan membuat bayaran balik kepada penumpang," kata Loke pada sidang media di Parlimen.


Kenangan menaiki MYAirline sewaktu bercuti balik kampung.


Ramai terkilan apabila perkhidmatan MYAirline tiada kerana mereka sudah suka dengan penerbangan tambang murah itu disebabkan pesawatnya luas dan selesa. Semoga MYAirline yang baru beroperasi sekitar setahun itu dapat beroperasi semula.

Dan yang penting, MYAirline diharap menunaikan tanggungjawab mereka kepada pengguna dengan membuat bayaran balik kepada pelanggan yang kerugian kerana tidak dapat menggunakan tiket yang telah dibeli.

SS berkata, dia telah mengirimkan emel bertanyakan mengenai pemulangan balik wang (flight clarification/ refund) kepada pihak syarikat tetapi belum dapat sebarang respons.

Ditubuh 11 Januari 2021, syarikat penerbangan tambang rendah, MYAirline mula beroperasi 1 Disember 2022. Setakat Jun 2023, mempunyai 8 pesawat dan penerbangan membabitkan 11 Destinasi dari Disember 2022 hingga pertengahan 2023. - KitaReporters

10
7
0
7
0
You will be interested