
Strategi Semikonduktor Nasional (National Semiconductor Strategy atau NSS) bukan sahaja untuk mencatur langkah untuk melonjakkan Malaysia ke hadapan dan memperkenal produk ‘Made in Malaysia’ (Buatan Malaysia), tetapi juga ‘Made by Malaysians’ (Buatan Rakyat Malaysia).
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia menyasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 10 syarikat tempatan dalam rantaian bekalan semikonduktor yang berpendapatan tinggi dan 100 lagi yang sedang dirintis menjadi juara nasional.
"Lantas serentak itu, kerjasama antara CREST (Collaborative Research in Engineering, Science and Technology) dan HRD Corp (Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad) sedang diatur bagi melatih sehingga 60,000 jurutera mahir menjelang 2030.
"Diharapkan Malaysia akan terus memberi fokus untuk menjadi Middle Power yang diyakini menjamin masa depan teknologi yang bersifat insani buat seluruh dunia," ujar beliau.

Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri Sidang Kemuncak Semikonduktor ASEAN 2025 (ASEMIS 2025) pada 24 Julai 2025 yang menghimpun pembuat dasar dan jaguh industri tempatan serta negara tetangga.
Malah, lebih menarik, sidang kemuncak itu turut menjadi medan untuk memperingati ulang tahun pertama peluncuran NSS.
"Alhamdulillah, setakat Mac 2025, lebih RM63 bilion pelaburan langsung telah berjaya diraih sejak NSS diluncurkan.
"Namun kita tidak boleh alpa dan NSS perlu terus mencatur langkah untuk melonjakkan Malaysia ke hadapan bukan sekadar ‘Made in Malaysia’, tetapi ‘Made by Malaysians’.
"Dalam ucaptama saya, saya juga menekankan bahawa Malaysia dan ASEAN perlu memanfaatkan peningkatan daya tarikan rantau ini sebagai zon penting yang menghubung jaringan dagangan dunia yang kian goyah dek pergolakan adikuasa dan tarif balas-membalas," tegas beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media
